BANGI: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memberi sokongan kepada pekebun dalam meningkatkan semula industri getah termasuk melalui Program Tanam Semula.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Ahmad Zainal Abdullah berkata, program itu merupakan objektif utama RISDA dalam usaha membantu pekebun kecil mencapai pendapatan RM4,500 sebulan untuk sebuah keluarga menjelang 2025.
“Kita ingin menunjukkan keyakinan bagi memastikan kesejahteraan 500,000 pekebun di seluruh negara terjaga,” katanya pada Seminar Halatuju Pekebun Kecil Getah Negara di sini baru-baru ini.
Menurutnya, banyak bantuan lain juga diperkenalkan bagi membantu pekebun kecil seperti Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) dan Tabung Khairat Kematian Pekebun Kecil.
“Bantuan-bantuan ini akan memanfaatkan pekebun kecil terutamanya dan sebagai insentif untuk menarik anak-anak muda terus terlibat dalam industri getah,” katanya
Mengenai Tabung Khairat Kematian Pekebun Kecil, katanya, sumbangan bernilai RM2,000 akan disalurkan bagi meringankan beban pekebun kecil sekiranya berlaku kematian peserta.
“Bukan itu sahaja, kita juga menyediakan program sokongan seperti Prasarana Asas Pertanian dan Bantuan Tabung pelancaran,” katanya.
Ahmad Zainal berkata, Prasarana Asas Pertanian itu akan membantu pekebun kecil dengan menyediakan infrastruktur pertanian seperti jalan pertanian, jambatan, parit dan pagar untuk kegunaan mereka.
“Kita juga akan berikan bantuan secara terus kepada Jawatankuasa Projek Berkumpulan untuk melancarkan pengurusan projek,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, RISDA turut menyediakan satu skim yang dikenali sebagai Skim Getah Matang (SGM) khusus untuk pemilik kebun getah matang yang membuka panel torehan.
“Mereka ini bakal menerima baja, racun rumpai, set torehan, insentif lateks, alat pelindung hujan dan juga bahan rangsangan lateks,” katanya. – UTUSAN