GERIK – Hasil usaha membantu keluarga penoreh getah, maka lahirlah syarikat Anramin Industry Sdn. Bhd. (Anramin), pengeluar produk minuman tiga dalam satu.
Usaha itu dijalankan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertujuan melihat para pekebun kecil dan keluarga tidak bergantung kepada hasil kebun getah semata-mata.
Anramin yang diusahakan hampir 20 tahun lalu kini mengeluarkan pelbagai jenis serbuk minuman tiga dalam satu seperti kopi, teh dan coklat.
Pengarah Kewangan Anramin, Mirrah Afifah Azizan berkata, dengan kapasiti pengeluaran serbuk mencecah lebih 50 kilogram, produk minuman yang dikeluarkan telah dijual di beberapa rangkaian pasar raya utama dalam negara seperti Mydin dan Lotus.
Katanya lagi, selain mengeluarkan produk minuman sendiri syarikatnya juga mempunyai kapasiti untuk melakukan pengilangan menerusi OEM (pengeluar peralatan asal).
“Kami menerima banyak bantuan daripada RISDA dari segi mesin, pelabelan serta menyertai pelbagai kursus yang membantu kepada perkembangan syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Syarikat itu baru-baru ini menerima Anugerah Usahawan Jaya dalam Majlis Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) Peringkat RISDA Negeri Perak Tahun 2023 yang diadakan di sini.
Penganugerahan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi RISDA, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Tambah Mirrah Afifah, perniagaan itu diusahakan oleh ibu bapanya yang mana keluarga ibunya merupakan generasi penoreh getah.
Katanya, syarikatnya kini mahu melebarkan pasaran ke luar negara dan kemampuan mengeksport produk ke Filipina dan Indonesia ketika ini memberi keyakinan kepada mereka untuk berkembang.
“Kami sudah eksport ke Filipina sebanyak dua kontena. Pada hujung tahun ini kami eksport ke Indonesia. Kami tumpu pasaran Asia Tenggara buat masa ini,” katanya.
Usaha mancapai sasaran itu katanya, Anramin kini dalam proses membangunkan kilang sendiri di Kamunting, Perak menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran.- UTUSAN