PRK Kemaman: Peratusan keluar mengundi dijangka 70 peratus - Utusan Malaysia

PRK Kemaman: Peratusan keluar mengundi dijangka 70 peratus

ABDUL Ghani Salleh (tengah) meninjau persiapan petugas SPR di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi kira-kira 70 peratus bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, esok.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, jangkaan itu berdasarkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.

Katanya, jumlah peratusan itu juga berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu pada musim tengkujuh ini.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Ma­laysia) semalam mengeluarkan amaran hujan berterusan akan.berlaku di Terengganu bermula hari ini hingga Ahad ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Pusat Penjumlahan Rasmi Undi PRK Kemaman di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman di Chukai, di sini, hari ini.

Seramai 141,790 pengundi termasuk pengundi pos dan awal layak mengundi dalam PRK Parlimen Kemaman.

Sementara itu, SPR membuka 49 pusat mengundi dengan 244 saluran mengundi.

Selain itu, Abdul Ghani berkata, pihaknya juga memohon pengundi luar pulang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Walaupun PRK Kemaman diadakan pada hujung tahun, namun diharapkan pengundi luar dapat mengambil kesempatan pulang mengundi,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, SPR menasihat pengundi supaya dapat keluar mengundi lebih awal dengan menyesuaikan waktu susulan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menurutnya, keputusan rasmi PRK itu pula dijangka diperoleh pada pukul 9 malam.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid daripada Pas  pada 26 September lalu.

Pada PRU-15 lalu, Che Alias mencatat kemenangan dengan majoriti 27,179 undi setelah meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya