SERDANG: Pemotongan kabel elektrik perlu dilakukan pihak berkuasa di lokasi tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan di sini, memandangkan terdapat satu tiang elektrik tumbang sehingga mengganggu proses pemasangan cerucuk besi.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, hanya enam cerucuk besi yang ditanam di lokasi berkenaan setakat pukul 3 petang tadi.
Kata beliau, pihak berkuasa perlu mengalihkan tiang elektrik berkenaan bagi memudahkan proses itu.
“Hari ini, enam lagi cerucuk besi ditanam. Jadi, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) datang bagi memotong kabel elektrik (di kawasan ini).
“Ini bagi membolehkan kerja pemasangan cerucuk (besi) dijalankan dengan lebih sempurna,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Anbalagan, sebanyak 56 cerucuk besi telah selesai ditanam di lokasi terjejas.
Kata beliau, pemasangan 375 cerucuk besi itu dijangka mengambil masa dua minggu untuk diselesaikan.
“Proses ini (pemasangan cerucuk besi) memerlukan dua minggu untuk diselesaikan, namun ia bergantung juga kepada keadaan cuaca dan gangguan lain seperti mesin.
“Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan memandangkan ia membabitkan laluan sejauh 150 meter dengan 375 cerucuk besi perlu ditanam,”jelasnya.
Beliau berkata, pergerakan tanah yang dilaporkan berlaku petang semalam, disebabkan gegaran ketika kerja-kerja pemasangan cerucuk besi dilakukan.
“Kerja-kerja pasang cerucuk menyebabkan gegaran memandangkan keadaan tanah di sini masih agak ‘longgar’ sekali gus menyebabkan berlaku pergerakan tanah.
“Mengikut Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), tidak nampak lagi (pergerakan tanah) yang signifikan meskipun masih ada beberapa takungan air di bawah (tanah).
“Namun pada masa sama, kita perlu melihat kepada cuaca seperti hujan dan sebagainya yang boleh mendorong berlakunya pergerakan (tanah) lagi,” jelasnya.
Kata Anbalagan, selain JMG, Jabatan Kerja Raya (Bahagian Cerun dan Forensik) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan terus melakukan pemantauan.
Ujar beliau, antara pendekatan yang diambil bagi melakukan pemantauan adalah menggunakan dron bagi melihat keadaan tanah dan keretakan rumah di sini.
“Berdasarkan tinjauan itu, kajian akan dibuat dengan melihat keretakan yang berlaku sama ada membesar atau berlaku perubahan lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, pihaknya tidak menolak kemungkinan pergerakan tanah sekali lagi boleh berlaku selain membentuk kolam tangkungan air di lokasi jika hujan lebat berlaku.
“Sebelum ini, memang ada ‘monsun drain’ (longkang monsun) di cerun kawasan ini. Apabila hujan lebat, laluan air tersekat dan akan menyebabkan ‘pounding’ (kolam takungan air).
“Jadi, kita cadangkan supaya laluan air itu dialirkan ke arah lain ke sungai,” katanya. – UTUSAN