PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menaik taraf Politeknik Ungku Omar (PUO) sebagai politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia merupakan fokus kelima dalam Transformasi Politeknik 2023-2030 untuk membangunkan sebuah politeknik APEX.
“Kesemua politeknik di negara kita mesti mempunyai satu penanda aras yang cemerlang untuk diikuti. Malah, adalah penting untuk ekosistem TVET diperkasa dengan kehadiran satu institut teknologi unggul dan berdaya saing.
“Pertama, institusi ini akan menawarkan pelbagai program yang lebih ‘advanced’ dan kompetitif. Kedua, komposisi peringkat pengajian institut teknologi ini akan menyaksikan peningkatan tawaran sehingga 50 peratus program ijazah.
“Kesemua ini disusun ke arah mengembangkan politeknik APEX ini menjadi sebuah institut teknologi,” katanya ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Transformasi Politeknik 2023 – 2030 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, KPT menggariskan empat langkah pemantapan kerjasama antara politeknik dengan industri antaranya memanfaatkan Badan Koordinasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Kerajaan-Industri (GITC) sebagai platform khusus yang akan merancakkan hubungan serta kerjasama kerajaan, industri dengan institusi TVET.
Jelasnya lagi, kementerian yakin dengan kekuatan lebih 10 persatuan yang bernaung di bawah GITC, ekosistem TVET negara akan menjadi lebih selari dengan perkembangan industri.
“Setakat ini, lebih daripada 50 persatuan industri mewakili 10,000 syarikat telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan GITC,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KPT mahu membangunkan satu ekosistem politeknik yang bukan sahaja menyediakan pendekatan pengajian yang pelbagai, tetapi bersifat mudah dan berupaya menawarkan keterujaan serta tarikan baharu yang segar.
“Ia terutamanya kepada mereka yang sudah bekerja atau terlepas peluang mengikuti pengajian pada peringkat muda,” katanya. – UTUSAN