PETALING JAYA: Polis tidak akan menutup siasatan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin meskipun tiada petunjuk baharu yang boleh menjurus kepada mana-mana pelaku.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan akan diteruskan bagi mengesan ‘prime crime scene’ atau tempat kejadian jenayah pertama di mana lokasi kanak-kanak itu dibunuh.
“Tidak akan tutup dan siasatan diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Siasatan pencarian bukti pembunuhan membabitkan Zayn Rayyan sudah memasuki hari ke 21 hari ini.
Pada 23 Disember lalu, Hussien menjelaskan, pihak polis berdepan cabaran untuk mengesan keterangan-keterangan sehingga tertangkapnya suspek atau mereka yang terlibat.
Kekurangan mendapat keterangan fizikal menyukarkan siasatan untuk mengaitkan penjenayah terlibat.
Dalam pada itu, polis juga meminta bantuan Polis Antabangsa (Interpol) bagi melakukan semakan pangkalan data berkaitan beberapa maklumat yang diperolehi hasil siasatan setakat ini.
Bantuan daripada Interpol adalah bagi melakukan semakan dalam pangkalan data mereka beberapa maklumat yang boleh membantu siasatan.
Dalam pada itu, Hussien berkata, kes kematian kanak-kanak ini bukan kes yang jelas dan mudah.-UTUSAN