PETALING JAYA : Polis mengesahkan selesai memeriksa tiga blok perumahan di Apartment Idaman, Damansara Damai bagi membantu siasatan kematian Zayn Rayyan yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid berkata, proses pemeriksaan rumah ke rumah itu bagi membantu siasatan kematian Zayn.
“Setakat ini, kita sudah memeriksa tiga blok perumahan membabitkan 540 unit daripada 18 blok yang menempatkan 2,484 unit rumah.
“Siasatan juga masih dijalankan dengan memeriksa saliran air berdekatan Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, yang menjadi lokasi penemuan mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata, siasatan masih berjalan membabitkan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira pukul 10 malam Rabu lalu. – UTUSAN