Polis sasar dalang sindiket dadah 

Polis sasar dalang sindiket dadah 

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalang sindiket menjadi keutamaan polis dalam usaha menumpaskan kegiatan pengedaran dadah di negara ini untuk tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi mengenai tangkapan dalang sindiket dadah di Sabah pada 25 Disember lalu berbeza berbanding operasi sebelum ini.

Katanya, jika sebelum ini polis menyasarkan rampasan dengan  nilai berjuta ringgit, operasi kali ini dibuat di bawah Kesalahan Jenayah Terancang dan SOSMA bagi memburu seluruh anggota sindiket, orang kanan serta dalang. 

“Kita akan sasarkan ketua sindiket bagi memastikan isu pengedaran dan penyeludupan dadah dapat diatasi.

“Jika tidak, mungkin kita perlukan masa yang lama untuk selesaikan isu dadah, itulah fokus kita kepada sindiket sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, hari ini.

Ditanya sama ada terdapat dalang dalam kalangan kenamaan berselindung di sebalik badan pertubuhan kerajaan (NGO), Ayob Khan berkata, perkara itu masih dalam siasatan. 

Katanya, jika ada perkara menarik, polis  akan berkongsi dengan media. 

“Polis faham tugas media untuk melaporkan kepada masyarakat, tetapi pada masa sama, media perlu faham bahawa ada benda benda yang kita boleh kongsi dan ada juga yang tak boleh dikongsi kerana bimbang ia boleh jejaskan siasatan serta mengganggu operasi polis,” ujarnya.

Selasa lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dilapor menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah, yang disyaki mula beroperasi sejak 2015.

Serbuan dilakukan pada 2.45 pagi di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu menahan 10 lelaki, termasuk dalang utama sindiket yang juga penaung sebuah NGO berusia 40 tahun.

Kesemua suspek berusia 30 hingga 48 tahun terdiri ketua sindiket, pembantu dan ahli kanan sindiket; penjawat awam; buruh berperanan sebagai keldai dadah; penyelia tapak dan pengarah urusan rangkaian restoran; dua pengedar dadah dan seorang tonto sindiket tersebut. 

Ayob Khan berkata, sindiket tersebut dipercayai berselindung di sebalik pelbagai jenis perniagaan termasuk rangkaian restoran dan pelancongan bagi melindungi kegiatan haram mereka. 

“Kita juga mengesan ahli sindiket ini memiliki pelbagai aset antaranya kenderaan mewah, banglo serta 12 syarikat perniagaan dalam bidang pelancongan, pembinaan, petrokimia, minyak dan gas dan pembuatan.

“Mereka juga dipercayai memiliki sebuah feri dan rangkaian restoran,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN