ALOR SETAR: Polis menahan tiga lelaki dengan seorang daripadanya dipercayai terbabit dalam kegiatan samun bersenjata secara solo menggunakan ‘pump gun’ di sebuah kedai emas dekat Jalan Langgar di sini, awal bulan ini.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Abu Samah Mohd. Noor berkata, penahanan ketiga-tiga individu berusia 50-an itu turut membantu menyelesaikan enam lagi kes samun kedai emas di Perlis, Pulau Pinang dan negeri ini sejak 2009.
Katanya, siasatan terhadap kes samun kedai emas di Jalan Langgar pada 12 Disember lalu membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 54 tahun di bandar raya ini, empat hari kemudian.
“Polis turut menemukan selaras ‘pump gun’, tiga pucuk pistol bersama kelopak, 104 peluru 9mm, 32 peluru penabur, sebilah kapak, sebuah mesin pelebur emas, dua bongkah besi acuan, sebuah kereta Proton Wira dan wang tunai RM5,500.
“Susulan tangkapan itu, dua lagi lelaki ditahan di kawasan Perai dan Georgetown, Pulau Pinang. Seorang daripadanya yang berusia 52 tahun ditahan pada hari sama manakala seorang lagi individu berumur 54 tahun, ditahan Khamis lalu.
“Lelaki yang berusia 52 tahun dipercayai sebagai orang tengah bagi menjual emas curi yang dileburkan manakala individu ketiga dipercayai membeli barangan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai tindakan seorang lelaki melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM178,000 dalam kejadian rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Langgar pada 3 Disember lalu.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, suspek sempat menyapa pekerja di kedai tersebut dengan perkataan ‘hai’, sebelum mengeluarkan ‘pump gun’ dan memecahkan cermin pameran kedai untuk mengambil dua dulang barangan kemas.
Mengulas lanjut Abu Samah berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga mereka pernah terlibat dengan kejadian samun bersenjata secara berkumpulan di Simpang Empat, Perlis pada 2009.
“Selepas itu, tangkapan pertama dipercayai telah melakukan enam lagi aktiviti samun bersenjata secara solo di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis iaitu di Sungai Bakap, Changlun, Sungai Petani, Alor Setar dan Arau,” katanya.
Tambahnya, suspek utama yang melakukan kegiatan samun secara solo itu juga dipercayai pernah menganggotai kumpulan kongsi gelap sebelum menceburi bidang perniagaan menjual gazebo.
“Ujian urin terhadap ketiga-tiga suspek negatif dadah. Mereka kini sedang menjalani tahanan reman hingga esok,” katanya.
Menurutnya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) serta Seskyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206). -UTUSAN