Polis buru dua suspek pecah rumah babitkan kerugian lebih RM1 juta - Utusan Malaysia

Polis buru dua suspek pecah rumah babitkan kerugian lebih RM1 juta

IMEJ menerusi rakaman CCTV suspek kes pecah rumah dan curi melibatkan kerugian RM1.24 juta di Taman Mansion, Ipoh pada 12 Disember lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis sedang mengesan dua lelaki disyaki suspek kes pecah rumah dan curi melibatkan kerugian lebih RM1.24 juta di Taman Mansion di sini, 12 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan kes itu diterima pada pukul 1.20 petang di mana kejadian berlaku ketika mangsa berusia 28 tahun tiada di rumah.

“Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian harta benda apabila 13 utas jam tangan mewah termasuk Rolex GMT Master 11 dan IWC Schaffhausen edisi terhad dilarikan suspek.

“Selain itu, suspek turut melarikan barangan kemas, telefon bimbit dan komputer riba. Nilai keseluruhan barang yang dicuri bernilai RM1,236,800,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, polis memandang serius perbuatan jenayah tersebut dan sedang giat mengesan dua lelaki dipercayai suspek di mana imej mereka berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Norazlina Rais Ahmad di talian 013-628 2176.

“Maklumat juga boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222. Siasatan lanjut kes ini dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN