PETALING JAYA: Pihak Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan di sekitar anak sungai Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini hari ini melibatkan seorang saksi kanak-kanak lelaki.
Difahamkan, polis meneruskan sesi lakonan semula berdasarkan keterangan yang diambil dua saksi kanak-kanak yang berusia enam dan sembilan tahun.
Mengikut tinjauan Utusan Malaysia, kanak-kanak lelaki itu dipercayai hadir bersama ibunya bagi membantu siasatan lakonan semula itu yang bermula pada anak tangga Blok R dan di sekitar anak sungai di mana mangsa ditemukan.
Dalam lakonan semula tersebut pasukan forensik turut dibantu oleh jurukamera PDRM sendiri bagi menilai rakaman itu.
Lebih 15 anggota polis hadir bagi meneruskan siasatan melibatkan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman.
Semalam, akhbar ini melaporkan PDRM mendapat maklumat baharu daripada dua saksi yang mendakwa terlihat Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di tingkat dua dan tiga di Blok R pada petang mangsa dilaporkan hilang pada 5 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, petunjuk baharu itu berdasarkan operasi mencari bukti secara besar-besaran membabitkan penduduk Apartment Idaman di sini sejak 8 Disember lalu. – UTUSAN