DENGKIL: Tiga penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sedang berkonvoi berdepan detik cemas apabila salah seorang daripada mereka cedera dihempap pokok tumbang.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang di Jalan Jenderam Hulu – Salak Tinggi itu, mangsa yang menaiki motosikal jenis Harley Davidson cedera di muka dan bahu.
Rakan mangsa dikenali sebagai Radzuan, 60, ketika ditemui berkata, dia bersama mangsa dan seorang lagi rakan dalam perjalanan ke Kuala Lumpur selepas melawat seorang rakan di Bandar Salak Tinggi.
Katanya, ketika kejadian, dia berada di hadapan sekali sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat dan melihat rakannya dihempap pokok sebaik menoleh ke belakang.
“Pokok itu betul-betul tumbang selepas saya melepasi jalan itu, namun rakan saya tidak sempat mengelak sebelum dihempap. Manakala, seorang lagi rakan kami sempat menghentikan motosikalnya.
“Dia (rakan) bernasib baik kerana hanya dihempap ranting dan dahan kecil namun, mengalami luka di muka dan bahu,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk ketika ditemui berkata, dia mendengar bunyi kuat di luar rumah dan mendapati sebatang pokok sudah tumbang.
“Sebaik mendekati, saya mendapati ada seorang penunggang motosikal cedera dan terperangkap di sebalik ranting dan dahan pokok yang tumbang itu.
“Pokok ini sudah lama mati memandangkan ranting dan dahannya yang sudah kering. Saya kira usia pokok mungkin dah cecah lebih 20 tahun,” katanya.
Tinjauan di lokasi kejadian mendapati, penduduk sekitar bergotong-royong memotong dahan dan mengalihkan pokok tumbang itu sementara menanti bantuan tiba. – UTUSAN