PKP, bubur tepung dan malam pertama - Utusan Malaysia

PKP, bubur tepung dan malam pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lebih tiga tahun, baru saya berkesempatan mendengar cerita di sebalik pembikinan lagu Dengan Nama Tuhan oleh Teman Lelaki. Lagu yang meletup selepas menyertai Anugerah Lagu Indie (ALI) 2020 itu punya latar cerita yang sederhana. 

Dicipta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dua sahabat melepak menghidupkan sunyi pandemik ketika pertama kali Hafiz memperdengarkan lagu bertuah itu kepada Eidi. 

Eidi suka lalu mencadangkan supaya mereka merakamkan lagu tersebut dengan bantuan rakan mereka yang ada segala kelengkapan. 

Lagu itu dirakam sebelum dimuat naik ke platform digital. Ketika itulah Teman Lelaki ditubuhkan — untuk memenuhi syarat muat naik ke platform digital kerana mereka perlu sediakan nama penyanyi. 

Lagu itu dibiar sepi di platform digital kerana mereka tidak merancang untuk serius sebagai kugiran. Hanya mahu mempersembahkan karya PKP. 

Entah macam mana lagu itu dihantar untuk ALI oleh rakan mereka dan sejak disenarai dalam kalangan 200 terbaik, nama Teman Lelaki mula disebut-sebut. 

Persembahan mereka di peringkat separuh akhir dan akhir melakar sejarah tersendiri buat kugiran itu, namun tidaklah menjadi pemula yang baik untuk kerjaya mereka. 

Kerana Eidi dan Hafiz masih individu sama sebelum Teman Lelaki menjadi popular. Masih lelaki-lelaki yang mahu hidupnya berjalan sederhana dan punya pengetahuan yang hampir kosong tentang muzik, dari aspek luar karya. 

Mereka disuakan peluang, termasuk kolaborasi bersama kugiran yang agak besar tetapi terbatal kerana naif dan polosnya mereka. Tapi itu cerita lama. Kini, Teman Lelaki semakin serius berkarya dan bergerak sebagai kugiran. 

Eidi sendiri tekad berpindah ke Lembah Klang untuk menggerakkan kugiran. Cabarannya: dia perlu sedia tinggal sendiri buat pertama kali dan mandiri hidup di kota.

KISAH RM10 

Mungkin dengan populariti Teman Lelaki, orang tak jangka cara Eidi menjalani hidup. Kebetulan pula hanya dia seorang yang dapat hadir ke sesi temu bual kami, maka saya berpeluang menggali dalam peribadinya. 

Antara detik pertemuan kami yang istimewa, Eidi datang ke Sungai Buloh untuk buat persembahan dalam acara Malam Intim menaiki motor. Dari Perak, dengan beg Grab masih di tempat duduk penumpang. 

Saya fikir pemandangan itu agak absurd sebab naik sahaja dia di pentas, dengan gitar di riba dan mikrofon di mulut, watak marhaen tadi terus lesap. Dia kacak dan suara lunaknya berkarisma. 

PKP, bubur tepung dan malam pertama Tentang Teman Lelaki yang naif, polos dan sangat sederhana Rupanya, dia luar pentas, Eidi jejaka sederhana yang merangkul kesukaran hidup sampai dia dah tak merasa susah. 

Kesusahan melarut dalam setiap detik hidupnya; dia anggap itu pergelutan normal manusia. 

Dia bertekad berpindah ke Lembah Klang dengan modal wang RM40. Tanpa jaminan kerja di sini. 

Pernah satu malam, duitnya hanya ada RM10 untuk dibahagi antara mengisi minyak motor dengan membeli makanan. Dia guna RM4 untuk beli tepung, RM6 lagi disimpan untuk motor. 

Dia mahu alas perut dengan menggoreng cekodok tapi lupa nak beli minyak masak. Akhirnya, perut diisi dengan tepung yang ‘digoreng’ dalam air. 

“Kenyang aku malam itu makan bubur tepung,” katanya bersahaja. Sangat bersahaja sebab dia hanya berkongsi kisah itu sebagai sebahagian pengalaman yang dia anggap kelakar. Segala bahasa tubuh dan riak wajahnya tidak ada tujuan untuk meraih simpati. 

Macam saya tulis tadi, dia anggap semuanya sebagai pergelutan biasa: satu nikmat. Seluruh bual kami tentang hidup yang dijalani Eidi bagi saya surreal. Sukar untuk dihadam awalnya tapi saya akhirnya sedar tentang kerencaman manusia. 

Eidi bukan watak biasa dalam dunia tapi mereka wujud. Manusia yang punya perspektif berbeza tentang kesusahan dan kesenangan, yang memproses kejadian dunia dengan latar hidup sendiri secara jujur tanpa dipengaruh latar hidup orang lain. Nilai langka untuk manusia era internet dan media sosial.

MENANTI MALAM PERTAMA 

Keseriusan Teman Lelaki menggerakkan kerjaya muzik ditandakan dengan pelancaran dua lagu tahun ini, iaitu Puisi Keras Seorang Lelaki dan Mengenang Hari. 

Mereka juga dalam proses mengumpul modal untuk album sulung. Lebih serius lagi, Eidi dan Hafiz mula mempelajari selok-belok muzik di luar karya: tentang pengurusan, hak, perniagaan dan rangkaian. 

Mereka sedar pentingnya punya kekuatan kewangan sebagai kugiran. Peluang-peluang tajaan dan geran dicari tetapi mereka tak lupakan pelan B. 

Sebab itu, pada petang ini, mereka akan melangsungkan persembahan pertama yang dianjurkan sendiri. Malam Pertama Teman Lelaki adalah acara yang meraikan lingkungan. 

Bersama rakan-rakan, impian mengadakan persembahan sendiri terlaksana. Acara itu akan disertai Lolaophy, Ainina Hasnul, Fimie Don, Kumandang Zine dan Fugo. 

Mereka berkongsi sumber dan hasil, dengan sokongan kedai kopi dan kafe, Box KL. Acaranya percuma dan diadakan di lokasi dengan pemandangan cantik, Lake Cabin di Anjung Floria, Putrajaya. 

Walaupun percuma, pengunjung tetap boleh menyumbang untuk kemandirian Teman Lelaki dan rakan-rakan melalui pembelian baju dengan rekaan khusus untuk majlis tersebut. 

Jika anda mahu melihat kemajuan anak seni seperti Teman Lelaki, luangkan masa untuk hadir ke acara tersebut. 

Bukan sekadar menikmati muzik, ia juga cukup intim untuk anda mengenali semua pengkarya yang akan terlibat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya