KUANTAN: Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Pahang mencadangkan kerajaan supaya mewujudkan gred baharu G0 bagi mengatasi isu lambakan kontraktor G1 yang ketika ini melebihi 50,000 orang di seluruh negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua PKKF Pahang, Ahmad Faiz Zulkifly berkata, gred baharu itu dicadangkan untuk nilai projek bawah RM50,000 bagi memberikan pengalaman kepada kontraktor baharu.
“Jadi, apabila kerajaan mewujudkan gred G0 ini, maka tiada lagi pengambilan kontraktor G1.
“Selepas dua tahun, barulah G0 ini boleh naik kepada G1. Jadi pengambilan G1 akan terhenti selama dua tahun untuk tempoh bertenang.
“Sepatutnya kerajaan lebih arif dalam menentukan dasar, bukannya dengan terus membuka lesen G1 dan tidak banyakkan kerja untuk gred ini.
“Dasar dan niatnya murni untuk bantu golongan graduan muda berniaga tapi jika tidak diurus dengan baik, ia akan menjadi malapetaka kepada semua,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad Faiz berkata, selain memperkenalkan gred baru kontraktor, kerajaan juga dicadang menaikkan had kerja projek G1 dari RM50,000 hingga RM300,000.
Beliau berkata, had kerja projek bagi kontraktor G1 pada ketika ini adalah kurang daripada RM200,000.
“Selain G1, had kerja kontraktor G2 dan seterusnya juga perlu dinaikkan. Ekoran kenaikan harga bahan-bahan binaan yang terus melonjak, sepatutnya had kerja pun dinaikkan.
“Para kontraktor ketika ini memerlukan rangsangan ekonomi dari kerajaan Pusat dan negeri untuk pembangunan,” katanya.
Kontraktor gred G1 boleh memohon projek bernilai sehingga RM200,000, manakala G2 dihadkan untuk tender berjumlah RM500,000.
Had siling tender untuk gred lain adalah RM1 juta (G3), RM3 juta (G4), RM5 juta (G5) dan RM10 juta (G6). Tiada had tender untuk gred G7.
Ahmad Faiz dalam pada itu mencadangkan kerajaan supaya menyalurkan dana kepada Koperasi Kontraktor Kelas F Negeri Pahang untuk menyalurkan kepada kontraktor yang memerlukan sumber kewangan.
Jelasnya, menerusi cara itu, pihak koperasi akan memantau perjalanan projek hingga siap sekali gus dapat mengelak berlaku projek sakit.
“Cadangan ini dibuat kerana kontraktor memerlukan dana untuk modal pusingan. Ketika ini ada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara), tapi agak lambat.
“Prosesnya terlalu lama dan membebankan kontraktor. Ada sehingga kerja sudah hendak siap baru dapat kelulusan,” katanya.-UTUSAN