KUALA LUMPUR: Barisan kepemimpinan baharu Parti Amanah Negara (Amanah) diharap dapat terus bersama-sama bagi mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mudah-mudahan barisan kepemimpinan baharu Amanah dapat terus memperkasa dan memangkin agenda Kerajaan Perpaduan serta Malaysia Madani.
“Saya ucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baharu Amanah yang telah dipilih pada hari ini.
“Diharap dengan kerjasama yang dirai antara parti dalam kerajaan akan lebih kukuh, erat dan serasi bagi memastikan sebuah politik yang stabil dalam memacu kemajuan negara. Selamat berkhidmat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Datuk Seri Mohamad Sabu kekal sebagai Presiden Amanah bagi penggal terakhir dalam tempoh 2023-2026 apabila dipilih dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu yang diadakan hari ini.
Sementara Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof pula dipilih sebagai Timbalan Presiden yang sebelum ini kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Manakala, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; bekas Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud dan Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari dipiliha sebagai Naib Presiden Amanah. – UTUSAN