KUALA LUMPUR : Isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bukan keutamaan buat masa ini dan menyifatkan pelaksanaannya tidak sesuai pada waktu sekarang.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga kor Ming berkata, apa yang perlu difokuskan ketika ini adalah tanggungjawab yang perlu digalas untuk rakyat dengan menyiapkan lebih 50,000 projek kemudahan awam.
Katanya, tempoh untuk melaksanakan pilihan raya PBT adalah dijangka selepas tempoh 10 tahun lagi setelah projek kemudahan awam itu siap sepenuhnya.
“Negara kita baru pulih daripada pergolakan politik, waktu kini adalah untuk redakan suhu politik dan fokus kepada kerja yang boleh bawa manfaat kepada rakyat.
“Setiap perkara akan berlaku pada masa yang betul (tepat), perkara seperti pilihan raya PBT yang sudah ditangguhkan sejak 1963 ini, pada ketika ini bukan keutamaan KPKT.
“Bagi saya 10 tahun, lepas saya siapkan 50,000 projek kemudahan awam, mungkin itulah masanya (laksanakan Pilihan Raya PBT),” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Pasar Bazar Rakyat, Seri Kembangan hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai dilaporkan menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.
Kok Wai berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Kor Ming selaku Naib Pengerusi DAP Kebangsaan yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berterusan secara konsisten menjelaskan ia bukan satu keutamaan buat masa ini.
Malah, penegasan yang sama turut dilontarkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa berhubung isu tersebut.
“Saya sentiasa berinteraksi dengan YB Zaliha dan kita sentiasa bekerja sebagai satu pasukan. Maka jawapan saya dan dia adalah konsisten.
“Keutamaan kita adalah pastikan tujuh bidang fokus KPKT dilaksanakan. Baru setahun (menjadi kerajaan) ini adalah masa untuk kita tunjukkan permulaan kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respon sama ada beliau ada bertemu dengan Zaliha untuk perbincangan berkaitan isu berkenaan.
Tujuh bidang yang akan diberikan keutamaan adalah membabitkan aspek pembangunan dan langkah memperkasa peranan kerajaan tempatan, membangun potensi PBT bagi menjana sumber pendapatan tambahan negara dan perancangan perumahan lebih komprehensif dan berdaya saing.
Selain itu, kementerian berkenaan juga memfokuskan pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum, pengurusan sisa pepejal bersepadu lebih efektif dan efisien bagi menghasilkan pelaksanaan ke arah ekonomi kitaran.
Turut difokuskan ialah memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu dan memperkukuh kesiapsiagaan kebombaan dan penyelamat yang sejahtera. – UTUSAN