KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) kekal dengan rekod tanpa kalah dalam Piala AFC selepas menang 2-0 ke atas Bali United pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Tuan rumah yang memburu kemenangan tujuh gol untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir Zon mula mencemaskan kubu Bali United melalui tandukan Habib Haroon yang terkena palang minit ke-20.
Tiga minit kemudian TFC memiliki peluang terbaik berpunca gerakan Norhakim Hassan dari sebelah kanan namun bola tolakan Syahmi Zamri di depan pintu gol melambung tinggi.
Rentak lebih agresif ditampilkan naib juara Piala Malaysia itu apabila rembatan Sony Norde (m-37) dan Ivan Mamut pada minit ke-38 ditepis keluar penjaga gol untuk sepakan penjuru.
Habib yang mengambil sepakan sudut itu membuat hantaran pendek kepada Norde lalu melepaskan sepakan kencang dari luar kotak penalti untuk gol pendahuluan Sang Penyu.
TFC perlu menyalahkan diri sendiri setelah tolakan ke belakang Mamut dalam masa tambahan disia-siakan Norde untuk kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa.
Bersambung babak kedua, pintu gol TFC nyaris dikejutkan Bali United mujur gerakan Ilija Spasojevic (m-57) dan Jean Mbarga (m-60) diselamatkan penjaga gol, Syed Nasrulhaq Syed Bidin.
Giliran skuad Peteh mengasak namun bola tolakan Mamut dikeluarkan oleh pertahanan lawan di atas garisan gol minit ke-63 sebelum percubaan Norhakim minit ke-72 terkena tiang.
Hasrat TFC menggandakan jaringan berhasil pada minit ke-88 melalui bek tengah, Sardor Kulmatov yang melakukan larian ke dalam kotak penalti sebelum rembatan leretnya menerjah jaring.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat dengan dua gol itu menyukarkan peluang naib juara Piala Malaysia itu mara ke pusingan berikutnya gara-gara perbezaan jaringan.
Mencatatkan tiga kemenangan dan tiga seri, TFC bagaimanapun akur apabila Central Coast Mariners muncul juara Kumpulan G menewaskan Stallion Laguna tiga gol tanpa balas, petang tadi.
TFC berkongsi 12 mata selaku naib juara kumpulan terbaik dengan Phnom Penh Crown FC dari Kumpulan F dan berharap kelab Kemboja itu kalah besar kepada Shan United, malam esok. – UTUSAN