PFA perlu tampil tunjuk perancangan menyeluruh - Utusan Malaysia

PFA perlu tampil tunjuk perancangan menyeluruh

KERATAN akhbar Utusan Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) perlu mengemukakan perancangan dan hala tuju secara menyeluruh bagi membolehkan kerajaan negeri melihat keperluan bantuan yang dapat disalurkan buat pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

Sehingga kini, PFA masih belum mengemukakan sebarang perancangan masa depan membabitkan perbelanjaan, pengurusan pasukan dan penyelesaian alternatif terhadap isu dihadapi mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, persatuan itu juga tidak menunjukkan inisiatif secara serius bagi menyelesaikan isu dihadapi khususnya melibatkan tunggakan gaji pemain Perlis United FC (PUFC).

“Kerajaan negeri ingin melihat apakah inisiatif daripada PFA sekurang-kurangnya untuk mencari dana bagi menyelesaikan isu tunggakan gaji.

“Isu ini bukan baharu dan telah berbangkit sejak sekian lama malah jika kita bantu nanti apakah jaminan yang masalah ini tidak akan berulang?.

“Disebabkan itulah PFA perlu mengemukakan perancangan mereka secara menyeluruh maka selepas itu barulah kerajaan negeri dapat membantu setakat yang mampu,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan harapan PFA bagi mendapatkan sokongan kewangan daripada kerajaan negeri untuk membantu program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dengan penyediaan peruntukan sekurang-kurangnya RM1 juta setahun.

Dalam pada itu, Wan Zikri berkata, kerajaan negeri sememangnya sentiasa menyokong pembangunan bola sepak di Perlis namun PFA perlu memainkan peranan bagi mencari dana khususnya selepas ia diswastakan.

WAN ZIKRI AFHTAR ISHAK

“Kita mahu melihat perancangan itu kerana jika kerajaan negeri ingin membantu pastinya ia akan menggunakan duit rakyat selaku pembayar cukai, jadi seharusnya kita mahu tahu ke mana duit itu akan dibelanjakan.

“Sebagai contoh, saya rasa PFA boleh menggunakan alternatif lain dalam mencari peruntukan antaranya dengan menganjurkan malam ‘fundraising’ bagi meraih dana dan tidak hanya bergantung kepada kerajaan negeri,” katanya.

Di samping itu, Wan Zikri berkata, manifesto Perikatan Nasional (PN) sebelum ini sememangnya menyatakan ingin mengembalikan semula kegemilangan bola sepak di Perlis namun bukannya hanya tertumpu kepada PUFC dan PFA sahaja.

Katanya, kegemilangan bola sepak di Perlis perlu dikembalikan secara menyeluruh melibatkan pembangunan bola sepak di peringkat sekolah, kelab dan lain-lain lagi.

“Pada saya apa yang penting adalah pembangunan atlet bola sepak itu dan ia akan berkembang jika kebajikan mereka terjaga.

“Benda ini memerlukan hala tuju yang jelas dan disebabkan itulah kerajaan negeri minta agar PFA dapat kemukakan ‘road map’ atau perancangan mereka secara lebih telus,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya