Pesta Pulau Pinang jadi platform usahawan bumiputera tingkat jualan - Utusan Malaysia

Pesta Pulau Pinang jadi platform usahawan bumiputera tingkat jualan

MOHAMAD Abdul Hamid (dua,kiri) dan Rashidi Zinol (kiri) meninjau reruai Pavilion Penangpreneur di tapak Pesta Pulau Pinang, George Town, Pulau Pinang, baru-baru ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Usahawan bumiputera yang menyertai Pesta Pulau Pinang mendapat perhatian Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk dari aspek peluang untuk mengembangkan perniagaan sekali gus memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, ia susulan program pesta yang dijadikan acara tahunan itu bukan sahaja menarik kehadiran penduduk tempatan, malah kehadiran pelancong luar negara turut semakin bertambah.

“Keterlibatan usahawan dalam pesta sepanjang hampir sebulan ini mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Ini membuktikan inovasi oleh usahawan Melayu dan bumiputera mampu diketengahkan bukan saja dalam pasaran tempatan, tetapi juga berupaya untuk diperluaskan ke pasaran antarabangsa dan difahamkan ada yang sudah sampai ke tahap itu.

“Baki pesta hanya tinggal beberapa hari lagi, jadi saya harap ramai pengunjung dapat mengambil peluang terutama dalam musim cuti sekolah ini untuk datang memberikan sokongan dan beli kerana ada banyak produk yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pavilion Penangpreneur di tapak Pesta Pulau Pinang, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri, Rashidi Zinol berkata, sebanyak 11 reruai percuma disediakan sempena penganjuran pesta itu khusus buat para usahawan di negeri ini.

Katanya, ia dijadikan sebagai platform buat usahawan memperkenalkan serta memprmosikan produk masing-masing sekali gus membantu mereka dari aspek promosi.

“Ini adalah kali pertama Pavilion Penangpreneur dibuka di tapak Pesta Pulau Pinang dengan penyertaan hampir 30 usahawan dan kebanyakannya berpuas hati dengan sambutan yang diberikan pengunjung setakat ini.

“Selain itu, kita turut akan adakan ‘post mortem’ selepas ini bagi melihat apa penambahbaikan yang boleh dilakukan selain meneliti lebih banyak produk yang berpotensi untuk diketengahkan,” katanya

Dalam pada itu, Operator Desamall Perda di Pesta Pulau Pinang, Muhammad Ajmal Asrul berkata, kebanyakan pengunjung tidak menyangka produk yang sememangnya sudah terkenal turut dijual di pesta terbabit.

“Kebanyakan pelancong luar seperti Pahang dan Johor antara pelanggan yang datang melawat reruai dan membeli pelbagai produk yang dipasarkan.

“Terdapat lebih 100 produk di sini dan paling popular terjual adalah sambal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya