Pesara komando hilang 3 hari lalu dijumpai dalam kebun sawit

Pesara komando hilang 3 hari lalu dijumpai dalam kebun sawit

ASISTEN Komisioner Bahrin Mohd Noh (kanan) menenangkan Mohamad Shahfullah (dua dari kanan) selepas penemuan mayat ayahnya Ab Manan Keri di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Palembang di Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG : Pencarian seorang pesara komando yang dilaporkan hilang Khamis lalu berakhir selepas ditemukan di dalam kebun kelapa sawit di Kampung Palembang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, penemuan mayat oleh seorang gembala lembu kira-kira pukul 5 petang ketika menguruskan ternakannya.

Katanya, kawasan penemuan mayat Ab Manan Keri,74, masih dalam radius pencarian iaitu kira-kira 500 meter dari tepi Sungai Melantai yang sungai rangkaian kepada Sungai Mengkibol.

“Pengesahan juga sudah dilakukan oleh anak mangsa, Mohamad Shahfullah, 29, yang turut hadir ke lokasi penemuan mayat ayahnya sebaik dimaklumkan.

“Mayat dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan akan diserahkan kepada ahli keluarga selepas semua urusan berkaitan selesai,”katanya dalam sidang media Khas di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Palembang dekat sini.

Berikutan penemuan itu, bilik operasi PKTK ditutup secara rasmi pada pukul 6 petang dan semua pasukan sahabat yang membantu dibenarkan bersurai.

Sementara itu, Norsam Kasbi, 56, yang menemui mayat mangsa berkata, ketika menghalau lembu ternakannya untuk pulang ke kandang, terdapat bau busuk selain terdapat seekor biawak berada di kawasan berhampiran.

Ujarnya, sebaik didekati ternampak mangsa terdampar ditepi parit dalam ladang dan menyerupai ciri-ciri digambarkan seperti dilaporkan.

“Selepas mengesahkan bahawa mayat ditemukan adalah mangsa, saya terus ke PKTK untuk memaklumkan kepada pasukan penyelamat,”katanya.

Sementara itu, penemuan mayat veteran komando yang dilaporkan hilang Khamis lalu melegakan keluarganya.

Salah seorang anaknya  Mohamad Shahfullah, 29, berkata penemuan mayat ayahnya, Ab Manan Keri, 74, menamatkan penantian sejak kejadian itu berlaku.

Katanya, walaupun sudah menduga berakhir dengan kesedihan namun bersyukur kerana sekurang-kurangnya menemui jasadnya.

“Alhamdulilah, jasad ayah dalam keadaan sempurna walaupun sudah memasuki hari ke tiga kehilangannya dan kami redha dengan ketentuan Allah.

“InsyaAllah semua urusan berkaitan jenazah ayah akan diuruskan esok selepas proses bedah siasat dilakukan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK),” katanya.

Shahfullah dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat yang sudah bertungkus lumus melakukan pencarian selama empat hari kehilangannya.

Ujarnya, hanya Allah yang mampu membalas jasa semua pihak dan akan menjadi kenangan sepanjang hayat mereka sekeluarga. –UTUSAN

 

 

 

 

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya