IPOH: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan 800 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara tahun ini.
Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa berkata, daripada jumlah unit RMR itu, sebanyak 160 unit akan dibina di negeri Perak.
“Saya yakin selepas ini lebih banyak lagi usaha dan inisiatif yang akan dilaksanakan untuk kita meneroka peluang sekiranya ada kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri misalnya untuk menyediakan tanah dan sebagainya.
“Saya percaya SPNB akan sedaya upaya mengembangkan lagi usaha bagi membina lebih banyak lagi rumah mesra rakyat (RMR)
“Kita pastikan rakyat yang mempunyai pendapatan kurang daripada kadar yang ditetapkan boleh memiliki sebuah rumah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Kunci kepada Peserta Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Parlimen Tambun di sini hari ini.
Menurut Husam, sehingga November lalu, SPNB sudah membina 5,045 unit RMR di seluruh negara.
Beliau berkata, daripada jumlah ini, sebanyak 3,535 unit telah berjaya disiapkan dan diserahkan kepada pemohon.
Katanya, bakinya 1,510 unit lagi sedang dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap penghujung tahun ini.
“Sehingga kini, Perak menerima sebanyak 13,496 permohonan sejak program ini diperkenalkan pada tahun 2002.
“Sepanjang Januari sehingga November 2023 pula, negeri Perak menerima 1,454 permohonan dan 2,606 permohonan lagi masih dalam senarai menunggu,” katanya.
Sementara itu, mengenai program hari ini, Husam berkata, SPNB menyerahkan 49 surat tawaran dan 10 kunci kepada pemilik rumah pada majlis tersebut. – UTUSAN