LIPIS: Kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan Program Berkhatan Anak Pahang melibatkan 3,500 orang kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun ke bawah daripada golongan B40 di semua daerah tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan tersebut terkandung dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan baru-baru ini antara aspirasi kerajaan negeri untuk meringankan ibu bapa dan penjaga khususnya golongan B40 ketika membuat persediaan berkhatan anak masing-masing sempena cuti sekolah hujung tahun ini.
“Kerajaan negeri sangat cakna dan prihatin dengan masalah perbelanjaan golongan B40 ketika menghantar anak masing-masing berkhatan di klinik swasta atau mana-mana pusat rawatan tertentu memakan belanja hampir RM150 bagi setiap orang kanak-kanak.
“Jadi, dengan adanya sumbangan kerajaan negeri, beban ibu bapa dan penjaga golongan B40 sedikit ringan khususnya berbelanja persiapan persekolahan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Anak Pahang daerah ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Felda Sungai Koyan, dekat sini, hari ini.
Sempena perasmian tersebut, Wan Rosdy turut menyampaikan sumbangan serta beramah mesra dengan 162 orang kanak-kanak daerah ini yang akan dikhatankan oleh lapan orang petugas perubatan Kementerian Kesihatan.
Bercakap selanjutnya, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jelai berkata, setiap daerah negeri ini akan menganjurkan program yang sama menerusi agihan peruntukan tersebut dan yakin program itu berjalan lancar serta memberikan manfaat kepada kesihatan fizikal serta kerohanian kepada kanak-kanak berkenaan.
“Kepada ibu bapa dan penjaga, kita sewajarnya bersyukur atas kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT dengan menjadikan program hari ini (berkhatan) sebagai titik permulaan untuk terus membimbing dan memberikan teladan yang baik kepada anak masing-masing supaya mereka menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat,” katanya.
Sementara itu, murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Yon, Tuan Mohamad Amir Ruzaimi Tuan Kechik, 11, berkata, dia tidak berasa gentar dan takut kerana dapat berkhatan beramai-ramai bersama rakan malahan lebih teruja kerana program itu meriah, turut dihadiri Menteri Besar Pahang dan ditemani ramai ibu bapa.
“Sebelum berkhatan, kami menerima sumbangan daripada Menteri Besar Pahang yang turut memberikan kata semangat dan meminta belajar bersungguh,” katanya.
Rakannya, murid tahun empat SK Kampung Keledek, Muhammad Airil Danish Sani, 10, pula berkata, dia bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri kerana membantu membiayai pengurusan berkhatan berkenaan.
“Bantuan ini dapat meringankan perbelanjaan ibu bapa saya khususnya membuat persiapan persekolahan keluarga kami tahun depan,” katanya. – UTUSAN