Pertiwi cekal berbakti, santuni gelandangan - Utusan Malaysia

Pertiwi cekal berbakti, santuni gelandangan

STAF Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) menyerahkan bantuan makanan kepada golongan kurang berkemampuan dan miskin bandar pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dapur jalanan BPMB bersama Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku di sini, baru-baru ini.-UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“ALHAMDULILLAH, saya gembira dapat berkhidmat dengan Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi). Walaupun boleh buka semula restoran, hati saya tetap dengan NGO ini sebab suka bantu orang.” 

Demikian pengakuan jujur Raja Mansor Raja Hussin yang bekerja sebagai tukang masak bersama pertubuhan bukan kerajaan Pertiwi. 

Raja Mansor yang berasal dari Bangladesh berkata, beliau mula berkhidmat bersama organisasi itu selepas pandemik Covid-19, susulan tempat kerja lamanya terpaksa ditutup. 

“Arwah Datuk Munirah pelawa saya bekerja masa itu. Sedar-sedar sudah lima tahun saya bersama Pertiwi,” katanya yang pernah menjadi cef di hotel lima bintang di negara ini. 

Pejam celik sudah 16 tahun Raja Mansor mencari rezeki di negara ini. Pengalaman bekerja di hotel dan restoran membuatkan dirinya mahir memasak pelbagai jenis lauk-pauk. 

Kebiasaannya, beliau bersama lima sukarelawan lain terlibat dalam kerja menyediakan makanan bagi sesebuah aktiviti sumbangan makanan kepada gelandangan. 

“Kita masak di beberapa kawasan sekitar yang berdekatan tempat gelandangan. Ada sarapan, hidangan tengah hari dan malam. Macam-macam lauk saya boleh buat,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku.   

KISAH LAILI 

Pengasas sekolah swasta, Laili Ismail pula berkongsi kisah bagaimana menceburkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan ini. 

Mengenali Pertiwi sejak kecil membuatkan dirinya benar-benar memahami fungsi dan peranan organisasi ini. 

“Saya kenal Pertiwi sejak kecil, semasa ia mula-mula ditubuhkan dengan banyak aktiviti dilakukan di luar bandar. 

“Saya pula aktif masa pandemik Covid-19, masa itu tak ramai sukarelawan. Kami selalu datang di tempat gelandangan dalam lima hari sekali, kecuali pada Selasa dan Sabtu kerana ada NGO lain,” katanya. 

Berkongsi pengalaman sepanjang menjadi ahli jawatankuasa Pertiwi, katanya, ada sahaja individu yang datang mengambil makanan walaupun mereka mempunyai pekerjaan tetap. 

“Duduk di Kuala Lumpur, pendapatan belum tentu mencukupi. Ada yang sanggup beratur datang ambil makanan di sini. Mungkin mereka terpaksa berjimat-cermat dan duit gaji dapat   digunakan bagi keperluan lain,” katanya. 

DAPUR JALANAN  

Pertiwi ditubuhkan sejak 55 tahun lalu, hasil idea pengasasnya, Allahyarham Datuk Munirah Abdul Hamid yang meninggal dunia, September lalu. 

Sepanjang penubuhannya, Alimah Salam yang kini menerajui pertubuhan itu berkata, banyak usaha dilakukan bagi menyantuni golongan miskin bandar, gelandangan serta hak wanita. 

“Beberapa misi sosial dan aktiviti kebajikan Pertiwi termasuk penyediaan seminar kemahiran literasi dan kesedaran pendidikan. 

“Kita pernah menyediakan bantuan perubatan ke kampung terpencil, tajaan untuk mendidik anak angkat serta menyediakan latihan kemahiran bagi ibu tunggal.

“Ada juga program barangan dapur serta membekalkan susu dan lampin pada setiap bulan yang mendapat tajaan daripada pelbagai pihak,” katanya. 

Oktober lalu, Pertiwi menerima sumbangan berjumlah RM114,400 dari Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) bagi membantu membiayai penyediaan makanan kepada golongan kurang berkemampuan di ibu kota.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya