SHAH ALAM: Perolehan pertama melibatkan empat pesawat tempur ringan jenis FA-50 yang dibeli dari Korea Selatan akan diterima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Oktober 2026.
Ketika ini, proses pembangunan pesawat memasuki fasa fabrikasi di fasiliti pengeluar peralatan tulen (OEM) di Sacheon, Korea Selatan.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, pembelian keseluruhan 18 pesawat itu selesai dimeterai antara kerajaan Malaysia dan Korea Aerospace Industries (KAl) pada Februari lalu.
“Berdasarkan masa perolehan, penerimaan pesawat FA-50 itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan dijangka bermula Oktober 2026.
“Empat pesawat pertama itu dijadualkan diterima sekitar bulan berkenaan manakala selebihnya pada 2027,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Hari Anugerah Kecemerlangan TUDM 2023, hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari sebelum ini memaklumkan aset pertahanan udara dengan perolehan bernilai RM4.08 bilion itu dipilih bagi kegunaan TUDM kerana dilihat lebih bersesuaian dengan keperluan semasa berbanding pesaingnya iaitu jet Tejas dari India, JF-17 (Pakistan), MIG-35 (Russia) dan Hurizet (Turki).
Pemilihan FA-50 itu juga diputuskan berdasarkan Kertas Putih Pertahanan dan dasar pertahanan negara.
Mengulas lanjut, Mohd. Asghar memaklumkan, perolehan pesawat itu akan dilengkapi persenjataan mengikut keperluan dan peranan sebagai pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) seperti yang dimuktamadkan dalam kontrak.
“Keutamaan persenjataan pesawat perlu mempunyai kebersamaan dengan platform pesawat pejuang sedia ada. Konsep ‘open architecture’ membolehkan ia lebih meningkatkan keupayaan FA-50 untuk memenuhi kehendak pengoperasian TUDM,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak OEM ketika ini masih lmembangunkan keupayaan pesawat FA-50 bagi memenuhi kehendak pengoperasian TUDM.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd. Asghar memberitahu, perolehan 12 helikopter baharu yang diluluskan kerajaan akan meningkatkan keupayaan penugasan termasuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Jumlah helikopter milik TUDM buat masa ini masih tidak mencukupi kerana penamatan pengoperasian pesawat helikopter Nuri.
Justeru, penambahan itu perlu dilaksanakan bagi menampung jurang keupayaan pesawat sedia ada yang kini digalas sepenuhnya oleh 12 pesawat helikopter EC 725 AP,” jelasnya.
Katanya lagi, perolehan semua helikopter baharu bermula tahun depan itu akan menjalani proses tender secara terbuka yang berupaya mengikut spesifikasi ditetapkan. – UTUSAN