KANGAR: Perlis sudah sedia menerima kunjungan lebih 3.5 juta pengunjung yang menjadi sasaran bersempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMP2024/2025).
Semalam, berlangsungnya Majlis Pelancaran TMP2024/2025 yang penuh gilang-gemilang di Dewan 2020, di sini sekali gus bakal bermulalah Tahun Melawat Perlis.
Perlis menetapkan lima kluster lokasi pelancongan di negeri ini merangkumi Jejak Pelancongan Eko, Jejak Pelancongan Agro, Jejak Pelancongan Budaya, Sejarah, Seni dan Warisan, Jejak Pelancongan Membeli Belah dan Makanan; dan Jejak pelancongan Sukan dan Rekreasi sekali gus bakal memberi lebih pilihan kepada pelancong yang datang ke negeri ini.
Justeru, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada rakyat negeri ini agar memberi layanan terbaik buat pelancong bersempena TMP2024/2025.
Titah baginda, berilah layanan yang beradab, sopan santun, berbudi bahasa, mesra dan sentiasa menjaga imej bagi memberi persepsi baik buat para pelancong.
Baginda bertitah, selain itu, para pengusaha rumah inap , pelancongan, pemilik restoran, pengendali pengangkutan awam dan pihak berwajib juga perlu menambah baik prasarana masing-masing buat semua pelancong.
“Paling penting ialah kita perlu peka kepada kehendak pelanggan supaya pelancong akan bertandang berulang kali. Rakyat Perlis umumnya secara tidak langsung merupakan duta TMP2024/2025 dan perlu memainkan peranan masing-masing,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Perdana TMP2024/2025.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, TMP2014/2025 bakal menampilkan pelbagai lokasi pelancongan, produk tempatan, acara dan warisan yang terdapat di negeri ini untuk dinikmati oleh para pengunjung.
“Pengunjung boleh meluangkan masa dengan meneroka keindahan dan keistimewaan di Perlis bagi merasai makanan unik dan melawati tempat-tempat menarik dengan kos berpatutan,” titah baginda.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli pula berkata, Perlis sememangnya sesuai dilawati oleh segenap lapisan masyarakat baik dari dalam mahu pun luar negara kerana menawarkan suasana tenang kepada para pengunjung.
“Oleh itu, Perlis benar-benar mempunyai potensi untuk menjadi salah satu destinasi eko pelancongan di Malaysia. Malah negeri ini juga berada pada landasan terbaik untuk menjadi antara negeri pilihan utama pelancong.
“Kemajuan dalam industri pelancongan mempunyai banyak potensi khususnya dalam mempercepatkan pembangunan negeri.
Perkembangan sektor pelancongan negeri memberikan kesan limpahan ekonomi kepada banyak pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung.
“Penganjuran TMP2024/2025 menjadi pemangkin untuk menyokong industri pelancongan khususnya dalam merealisasikan sasaran bagi menerima seramai 3.5 juta pelancong ke negeri ini pada tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN