KANGAR: Perlis bakal mengeluarkan beras menggunakan jenama sendiri dalam tempoh tiga atau empat bulan lagi selepas tamatnya proses tuaian padi bagi musim 2023 ini.
Bagi tujuan itu, mandat telah diberikan kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melakukan pembelian padi dan kemudian kerajaan negeri akan mengambil dari pihak terlibat untuk mengeluarkan jenama beras Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razali Saad berkata, pihaknya telah memanggil semua agensi dan pihak berkaitan bagi membincangkan mengenai perancangan mengeluarkan beras jenama sendiri itu dalam memenuhi permintaan pelanggan.
“Kita optimis boleh hasilkan beras sendiri dan jangkaannya usaha ini mungkin akan dapat dilihat selepas tuaian musim ini dalam tempoh tiga atau empat bulan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.
Terdahulu, Razali turut menjawab pertanyaan lisan dibangkitkan oleh Haziq Asyraf Dun (Beseri-PN) berhubung usaha daripada kerajaan negeri bagi mengeluarkan produk beras tempatan hak milik Perlis.
Untuk rekod, hasil pengeluaran padi di Perlis adalah sebanyak 154,975,325 tan metrik semusim dan turut membantu menyumbang kira-kira 11 peratus kepada pengeluaran beras negara.
Jumlah hasil tersebut merangkumi kawasan tanaman seluas 27,883,29 hektar melibatkan keseluruhan 17,930 pesawah di Perlis.
Dalam pada itu, Razali berkata, beberapa aspek perlu diambil kira dalam pelaksanaan bagi mengeluarkan jenama beras sendiri agar proses pelaksanaannya tidak terganggu dan dapat berjalan lanjar.
“Disebabkan itu kita libatkan banyak pihak antaranya seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Bernas, Kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) dan beberapa bagi melancarkan pelaksanaan ini,” katanya.
Tambahnya, buat masa ini, kerja-kerja mereka bentuk pembungkusan jenama beras Perlis itu juga sedang giat dilaksanakan dan akan selesai dalam masa terdekat.-UTUSAN