JOHOR BAHRU: Cadangan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membataskan jawatan Perdana Menteri kepada orang Melayu-Islam tidak boleh dibuat sesuka hati semata-mata mahu menjaga kepentingan golongan tertentu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, hal itu kerana peruntukan sedia ada telah menjamin hak dan kepentingan semua kaum, termasuk kedudukan istimewa orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, pihaknya melihat undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan sedia sudah cukup dan tidak perlu dipinda.
“Sebagai pengamal undang undang dan juga seorang Ahli Parlimen, perlembagaan telah menjaga hak semua pihak. Walaupun benar menurut Perlembagaan Persekutuan bahawa orang bukan Melayu dan bukan Islam juga boleh menjadi Perdana Menteri di bawah perkara 43(2)(a), tetapi realiti politik dan jumlah penduduk majoriti negara ini ialah bangsa Melayu.
“Maka daripada segi kesesuaian politik sebenar, jawatan Perdana Menteri akan sentiasa disandang oleh orang Melayu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Khatan Perdana Anjuran Pejabat Parlimen Pasir Gudang di Masjid Bandar Permas Jaya, di sini hari ini.
Khamis lalu, Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencadangkan agar Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya hanya orang Melayu-Islam boleh menjadi Perdana Menteri.
Kenyataan Ahli Parlimen Machang itu dibuat selepas veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang menegaskan tiada sekatan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dilaporkan berkata, saranan tersebut adalah tidak wajar dan lebih kepada mengapi-apikan keadaan selain tidak memahami konsep sebenar Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, jika Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya ada peruntukan bahawa hanya Melayu sahaja boleh jadi Perdana Menteri, beberapa masalah akan timbul.
“Pertama, peruntukan seperti itu akan menjadikan Malaysia sebuah negara aparteid seperti di Afrika Selatan ketika diperintah golongan kaum minoriti yang kulit putih. Dasar aparteid juga yang diguna rejim zionis Israel ke atas rakyat Palestin. Sudah tentu kita tidak mahu Malaysia jadi negara aparteid.
“Kedua, ia akan bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan semua rakyat Malaysia sama rata di sisi undang undang.
“Namun begitu, orang Melayu tidak perlu bimbang tentang kedudukan Islam, kedudukan raja-raja Melayu dan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Isu ini jelas di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, perkara tersebut tidak boleh dipinda tanpa persetujuan dari Majlis Raja-Raja Melayu,” ujarnya.
Tambahnya, pentadbiran Malaysia menurut sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang menetapkan kuasa penting di bawah Yang di-Pertuan Agong serta kuasa Majlis Raja-Raja Melayu.
“Kuasa itu tidak boleh diganggu dan dicabar oleh Perdana Menteri. Jadi jaminan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan sudah cukup kuat untuk melindungi kepentingan orang Melayu,” ujarnya. –UTUSAN