KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi perlu dan akan melakukan lebih banyak sesi libat urus dengan sektor swasta dalam usaha meningkatkan produktiviti komoditi negara.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini berikutan unjurannya dilihat semakin menguncup yang menuntut kerajaan mengambil pendekatan lebih efisyen bagi meningkatkan produktiviti komoditi.
Jelasnya, beberapa komoditi yang sebelum ini menunjukkan prestasi pengeluaran baik namun tidak berkembang seiring peredaran masa, malah Malaysia jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Vietnam.
“Sebenarnya, kementerian ini perlu pergi ke luar dan buat banyak libat urus dengan sektor swasta. Mana-mana syarikat swasta yang terlibat dalam komoditi, kita perlu tengok bagaiman industri ini boleh kita pertahankan atau mengembangkannya.
“Bagi syarikat yang sudah ‘senja’, kita lihat bagaimana kita boleh tukar model perniagaannya. Kita perlu mempunyai teknologi yang betul dan memberikan keberkesanan,” katanya malam tadi.
Beliau berkata demikian semasa program bual bicara Naratif Khas bertajuk Mengoptimum Hasil Agrikomoditi Negara yang disiarkan stesen televisyen kerajaan.
Sesi bual bicara itu dihoskan personaliti televisyen, Sayed Munawar Sayed Mustar yang bersiaran selama satu jam.
MINYAK SAWIT
Mengulas lanjut, Johari menyuarakan kebimbangannya terhadap masalah penurunan pengeluaran minyak sawit yang mana pada 2013, Malaysia menghasilkan 20 juta tan minyak sawit mentah (CPO).
Bagaimanapun, pada tahun ini, ia menurun kepada 18 juta tan sedangkan penghasilan Indonesia berkembang kepada 26 juta tan berbanding 19 juta dalam tempoh yang sama.
Selain itu, katanya, Malaysia pernah menjadi pengeluar getah asli terbesar pada 1970, namun pada tahun lalu, Vietnam yang kini pengeksport getah asli ketiga terbesar di dunia menghasilkan lebih satu juta tan manakala Malaysia hanya mencecah 470,000 tan.
Disebabkan penurunan hasil berkenaan, katanya, beberapa komoditi terpaksa diimport bagi memenuhi keperluan syarikat tempatan seperti getah asli bagi pembuatan sarung tangan dan koko bagi pembuatan coklat.
“Dahulu, kita boleh hasilkan koko sebanyak 225,000 tan tapi hari ini, hanya 500 tan saja. Jadi, kita terpaksa import koko dan memprosesnya. Jika kita import bahan mentah dan menghasilkannya di sini, margin kita kecil sebab kita tidak lagi memproses apa yang kita hasilkan,” katanya.
DASAR KONSISTEN
Sementara itu, katanya, dasar mengenai komoditi perlu konsisten dan tidak boleh berubah jika mahu ia menampakkan hasil yang baik untuk jangka masa panjang, terutama jika berlaku pertukaran menteri atau kerajaan.
“Ini bukan sekadar retorik lagi. Jika lihat perancangan, memang sempurna di atas kertas tapi bila berurusan dengan sektor swasta, kita perlu bantu mereka kerana lebih banyak pendapatan mereka, lebih baik untuk negara dari segi kutipan cukai, peluang pekerjaan dan ekonomi yang berkembang,” katanya.
PEKEBUN KECIL
Johari berkata, pekebun kecil juga perlu diberi perhatian kerana kekurangan produktiviti mereka memberi kesan besar kepada negara, yang mana 27 peratus daripada 5.6 juta hektar ladang kelapa sawit di negara ini diusahakan pekebun kecil.
“Ia termasuk dengan bantuan geran dan pinjaman untuk mereka melaksanakan tanaman semula dan memastikan ekosistem yang menyokong produktiviti mereka,” katanya. – UTUSAN