IPOH: Semua sesi mengajar dan bersyarah oleh penceramah dari luar negeri Perak di masjid dan surau berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) masih ditangguhkan.
Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, pihaknya masih memperhalusi Garis Panduan Permohonan Penceramah dan Pengajar di masjid dan surau di negeri ini.
“Beberapa garis panduan perlu diperhalusi maka keputusan tidak boleh dikeluarkan lagi.
“Ia masih kekal dengan yang sebelum ini iaitu menangguhkan penceramah-penceramah luar walaupun mereka ada tauliah dari negeri Perak tapi terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Anak Yatim anjuran Kolej Antarabangsa TAJ (TIC) di sini semalam.
Menurutnya, penceramah yang mendapat watikah masih lagi tidak dibenarkan membuat ceramah di masjid dan surau yang berdaftar dengan JAIPk.
Katanya, perkara itu bukan bertujuan mempersulitkan tetapi mahu memperkemaskan garis panduan mengajar dan berceramah kerana terdapat unsur ajaran-ajaran yang tidak betul.
“Sekarang banyak ajaran-ajaran yang mungkin kita tidak perasan sedang berjalan, jadi itu yang kita hendak jaga,” katanya.
Sebelum ini, JAIPk menangguhkan sesi mengajar dan bersyarah oleh semua penceramah agama termasuk dari luar berkuatkuasa Ogos lalu.
Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam negeri sedang membuat penambahbaikan terhadap garis panduan permohonan penceramah dan pengajar sebagai usaha penyusunan semula konsep dakwah agar selari dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Aliran Asyairah dan Maturidiah.
Sementara itu, Harith Fadzilah berkata, semua masjid dan surau termasuk surau diri Jumaat di negeri ini masih lagi meneruskan doa Qunut Nazilah.
“Di Perak, kita teruskan lagi kerana ia tidak menimbulkan apa-apa masalah,” katanya. – UTUSAN