Perak kutip RM2 juta denda perokok - Utusan Malaysia

Perak kutip RM2 juta denda perokok

A. SIVANESAN pada Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengutip RM2.1 juta hasil aktiviti penguatkuasaan kawasan larangan merokok sejak Januari hingga September tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, dalam tempoh tersebut sebanyak 2,274 aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan dengan sejumlah 8,465 notis telah dikeluarkan.

Sepanjang tahun 2022 menurutnya, sebanyak 2,603 aktiviti operasi penguatkuasaan dilaksanakan dan 5,222 notis dikeluarkan dengan anggaran nilai kutipan RM1.3 juta.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui JKN Perak sentiasa proaktif dalam melaksanakan langkah-langkah untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat, khususnya golongan remaja, tentang bahaya merokok kepada kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini ketika menjawab soalan Dr. Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota).

Kata Sivanesan, sepanjang tahun 2022 dan 2023, sebanyak 108 aktiviti kempen advokasi telah dijalankan di negeri Perak, merangkumi institut pengajian tinggi, sekolah, masjid, kompleks membeli-belah, jabatan kerajaan serta dalam komuniti melibatkan keseluruhan 14,737 individu.

“Selain daripada itu, KKM menerusi JKN Perak akan terus mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape,” katanya.

Katanya, penguatkuasaan dijalankan berdasarkan kepada keperluan peruntukan Larangan Merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) Undang-Undang Kesihatan Awam.

Menurutnya, antara langkah-langkah dijalankan adalah seperti pelaksanaan operasi pemantauan dan penguatkuasaan mengikut rutin mingguan dan bulanan di peringkat daerah secara berpasukan berskala kecil serta berskala besar di daerah terpilih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya