Perak berpotensi jadi pengeluar kopi - Utusan Malaysia

Perak berpotensi jadi pengeluar kopi

SAARANI Mohamad (tengah) melawat gerai peniaga kopi pada Karnival Kopi Perak 'Cherita Secangkir Kopi' di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak mempunyai potensi untuk menjadi pengeluar utama kopi negara berikutan permintaan tinggi terhadap minuman itu di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pasaran besar kopi di negeri ini dengan kebanjiran pengusaha minuman berkenaan memberi idea kepada kerajaan negeri untuk memanfaatkan peluang tersebut.

Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat menjenamakan negeri malah memberi pulangan ekonomi kepada petani dan usahawan.

“Lagi ramai orang menggemari kopi, maka lagi ramai yang akan berniaga. Jadi, apabila ramai yang berniaga, sudah tentu mereka perlukan bekalan bahan mentah iaitu biji kopi.

“Maka dengan sendirinya ia memberi signal atau gambaran kepada Kementerian Pertanian khususnya Jabatan Pertanian untuk melihat potensi kita (Perak) untuk mengeluarkan kopi sendiri,” katanya ketika ditemui pada Karnival Kopi Perak: Cherita Secangkir Kopi di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di sini hari ini.

Menurut beliau, potensi Perak sebagai pengeluar biji kopi bukan sahaja dapat memenuhi keperluan pasaran tempatan malah membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan berkenaan.

Katanya, pandemik Covid-19 mahupun pergolakan di beberapa negara hingga mengganggu bekalan bahan mentah perlu dijadikan iktibar agar negara tidak perlu berdepan krisis makanan.

“Apabila negara pengeluar berdepan krisis, kita pun akan sama menghadapi masalah. Sebahagian sumber makanan ini sebenarnya boleh ditanam di negara ini termasuklah biji kopi.

“Jika Sarawak dikenali sebagai pengeluar lada hitam, kenapa tidak kita jadikan Perak pula sebagai pengeluar kopi,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri serius untuk merealisasikan usaha tersebut dan cadangan berkaitan perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.

“Saya dengar ramai orang datang dari Kuala Lumpur ke Ipoh menggunakan perkhidmatan tren elektrik (ETS) untuk sarapan pagi. Kenapa kita tidak jadikan mereka datang ke bandar ini untuk menikmati kesegaran kopi.

“Kita jenamakan ia sebagai Ipoh Coffee atau Perak Coffee. Saya percaya tanah di Perak ini subur untuk penanaman biji kopi dan ia boleh direalisasikan,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya