IPOH: Kerajaan negeri belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi penukaran rumput jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, perbincangan terperinci perlu dijalankan untuk memastikan penggunaan rumput baharu itu tidak membebankan kerajaan negeri bagi tempoh jangka panjang.
Katanya, penelitian daripada pelbagai aspek juga perlu dilakukan berikutan kos penyelenggaraan rumput baharu itu melibatkan nilai yang tinggi.
“Setakat ini belum ada keputusan, kita perlu memikirkan kos penyelenggaraan, baik pulih dan penjagaan rumput. Pihak berkuasa tempatan (PBT) mungkin boleh tanam tetapi kos penjagaan rumput itu yang menyebabkan banyak negeri masih belum beri kata putus.
“Malah, kebanyakan exco yang terlibat dalam mesyuarat bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga memikirkan perkara ini, kerana kos penyelenggaraan yang tinggi mungkin boleh menjadi satu bebanan jika diteruskan.
“Jadi, perkara inilah yang memerlukan perincian dan perbincangan yang teliti supaya tidak timbul masalah selepas rumput itu ditanam nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Perak Kali ke-26 di Dewan Kompleks Jabatan Belia dan Sukan Perak, di sini hari ini.
Kementerian Belia dan Sukan di bawah kepimpinan Hannah Yeoh pada Mac lalu menawarkan kepada semua kerajaan negeri untuk menampung kos penukaran rumput daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.
Menurut Hannah, hanya Sarawak yang menyatakan persetujuan menggunakan rumput Zeon Zoysia manakala Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Pahang tidak bersetuju dan mahu mengekalkan penggunaan rumput sedia ada.
“Negeri-negeri lain pula masih memerlukan lanjutan masa untuk membuat keputusan sehingga mereka betul-betul yakin bahwa kos dan penyelenggaraan tidak membebankan jangka masa panjang,” ujar beliau.
Sementara itu pada November lalu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dilaporkan berkata, keputusan untuk menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Perak akan diketahui selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Jelas beliau, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bertanggungjawab terhadap Stadium Perak tidak mempunyai masalah berhubung kos penyelenggaraan rumput itu sekiranya digunakan. – UTUSAN