PENAMPANG: Hasrat melihat penyatuan parti-parti tempatan di Sabah adalah satu cadangan yang baik namun, kepentingan nasional masih perlu diberi perhatian.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sudah sampai masanya parti-parti politik di negeri ini bersatu dalam satu wadah tempatan yang turut menjaga kepentingan nasional.
Beliau berkata, penyatuan dalam kalangan parti-parti lokal ini amat penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri Sabah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Penting untuk kita bersatu untuk memberi fokus kepada pembangunan negeri Sabah dan rakyatnya.
“Janganlah kita terlampau berpolitik hingga kita lupa kepada perkara asas, keperluan rakyat kita,” katanya semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Krismas GRS.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang cadangan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick untuk melihat penyatuan besar parti-parti tempatan di Sabah direalisasikan.
Sebelum ini, Ewon berkata, adalah menjadi harapannya agar suatu hari nanti, UPKO boleh menjadi sebahagian daripada penyatuan besar parti-parti tempatan di Sabah.
Pada masa ini, UPKO bukan sebahagian daripada gabungan parti-parti tempatan di dalam GRS yang dianggotai tujuh parti tempatan.
Ketika ini, GRS dianggotai oleh Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP)
Mengulas tentang sambutan Krismas berkenaan, Hajiji berharap agar program sebegitu dapat diteruskan pada masa akan datang dalam meraikan kepelbagaian kaum di negeri ini.
“Walaupun kita punya kepelbagaian suku kaum tapi, kita tetap bersatu. Ini menunjukkan keharmonian dan perpaduan kita di Sabah begitu unik dan baik sekali.
“Ini adalah amalan sejak turun temurun yang perlu kita pelihara dan turunkan kepada anak cucu kita pada masa akan datang,” katanya. –UTUSAN