Penyatuan besar parti-parti Sabah harap jadi realiti-UPKO

Penyatuan besar parti-parti Sabah harap jadi realiti-UPKO

WON Benedick (empat kiri) menyempurnakan simbolik memotong kek sempena Krismas bersama tetamu kehormat di Pusat Kebudayaan Penampang baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meletak harapan yang tinggi agar parti-parti politik berasaskan kelompok masyarakat di Sabah dapat disatukan dalam sebuah gabungan yang besar.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, sebelum ini beliau pernah membicarakan tentang cadangan menggabungkan parti-parti berasaskan kelompak masyarakat di Sabah.

“Saya sedang memerhatikan inisiatif ini dan mendoakan semoga kerjasama tersebut menjadi realiti. Mudah-mudahan suatu hari nanti di pihak saya juga, akan menjadi sebahagian daripada penyatuan besar parti-parti di Sabah,” katanya ketika diminta mengulas tentang usaha memperkukuh kerjasama antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di negeri ini.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Mesra dan Rumah Terbuka Krismas di Pusat Kebudayaan Penampang baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni; dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, beliau amat mengalu-alukan sebarang inisiatif kerjasama bukan hanya dalam hal penggabungan parti, tetapi juga kerjasama dalam kerajaan.

Katanya, penyatuan dan kerjasama parti-parti berasaskan kelompok masyarakat Sabah sama ada dalam gabungan negeri atau kebangsaan itu lebih mustahak. Dengan adanya penyatuan sebegitu, tuntutan terhadap hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilakukan.

Pada masa ini, di peringkat negeri, UPKO yang berada dalam Pakatan Harapan (PH) Sabah adalah sebahagian daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Mengenai kerjasama antara PH dan GRS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau berkata, sebarang inisiatif, tawaran atau jemputan untuk bekerjasama amat dialu-alukan kerana itu yang diperlukan oleh rakyat.

Katanya, semakin banyak bekerja atau berbicara tentang kerjasama maka, semakin dekat mereka dengan usaha untuk bekerjasama.

“Saya terima dengan positif jemputan Armizan (Datuk Armizan Mohd. Ali) untuk YB Jannie daripada PH untuk bekerjasama dengan pimpinan kerajaan negeri GRS pada masa ini.

“Memang di peringkat negeri, kerajaan GRS-PH membentuk Kabinet yang ada sekarang dan di peringkat Persekutuan pun kita bekerjasama dalam gabungan yang besar di bawah kerajaan Perpaduan.

“Sepatutnya ini fokus kita bekerjasama, ini yang kita perlukan kerana pada akhirnya yang mendapat manfaat hasil daripada kerjasama ini adalah rakyat,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya