KUBANG PASU: Seorang individu rentung setelah motosikal ditunggangnya kemalangan dengan sebuah lori di hadapan sebuah stesen minyak di Changlun, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superitenden Rodzi Abu Hassan berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 5.45 petang.
“Mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dengan motosikalnya turut terbakar. Siasatan lanjut masih dijalankan setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, seramai lapan anggota dikerah ke lokasi kejadian bagi menjalankan tugas-tugas menyelamat.
“Mangsa dipercayai seorang lelaki ditemukan dalam keadaan rentung dengan kesan melecur sebanyak 60 peratus,” katanya.
Tambahnya, pihaknya melakukan pemadaman api menggunakan dua aliran saluran air daripada jentera bomba.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN