Peniaga tempatan dapat manfaat daripada cukai barangan import nilai rendah

Peniaga tempatan dapat manfaat daripada cukai barangan import nilai rendah

shopee
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cukai jualan 10% yang akan dikenakan ke atas pembelian dalam talian bagi barangan import berharga bawah RM500 boleh meningkatkan hasil peniaga tempatan.

Pakar Percukaian, Senthuran Elalingam daripada Deloitte Tax Services Sdn. Bhd. berkata, peraturan baharu itu akan memberikan insentif bagi pembelian daripada penjual tempatan kerana jualan mereka akan tertakluk kepada kadar cukai yang lebih rendah.

“Pada 1 Januari jika anda masuk ke kedai tempatan dan beli produk tertentu bawah harga RM500, kedai itu tidak akan mengenakan cukai jualan kerana cukai jualan domestik hanya dikenakan ke atas barangan import dan di kilang.

“Jika anda beli produk yang sama dalam talian dan produk tersebut dihantar dari luar Malaysia, maka anda akan bayar cukai 10% ke atas harga jualan,” katanya.

Katanya, kedai tempatan yang mengimport barangan ke Malaysia mungkin telah membayar cukai jualan ke atas nilai import borong, yang akan dimasukkan dalam harga jualan.

“Jadi masih ada cukai yang boleh dikutip,” katanya.

Senthuran berkata, satu lagi perbezaan ialah kadar cukai dikenakan – jika barangan itu diimport, kadar itu boleh dikecualikan, 5% atau 10% bergantung kepada jenis barangan.

“Bagaimanapun, untuk barangan bernilai rendah, tetap 10%. Jadi sebenarnya, kos jualan dalam talian dari luar Malaysia jauh lebih tinggi berbanding jualan tempatan,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, pelaksanaan cukai barangan import bernilai rendah bertujuan menyamakan kedudukan perniagaan di Malaysia, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Kementerian itu berkata, secara amnya, cukai jualan dikenakan ke atas barangan yang dijual di dalam negara dan dibayar oleh pengimport, pemborong atau peruncit berkaitan sebelum dijual kepada pengguna di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kelemahan dalam cukai jualan bermakna import bawah nilai minimum (RM500) tidak tertakluk kepada cukai jualan dan duti import bagi memudahkan urusan pelepasan kastam untuk penghantaran pos dan kurier.

Justeru, penguatkuasaan cukai barangan import bernilai rendah, yang ditangguhkan 1 April tahun ini kepada 1 Jan depan, bertujuan menangani perbezaan layanan cukai antara barangan dijual perniagaan runcit dan perniagaan dalam talian.

Kementerian berkata, penjual tempatan dan asing dalam talian dengan jumlah nilai jualan barangan bernilai rendah yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan boleh memohon untuk didaftarkan bawah Akta Cukai Jualan (Pindaan) 2022.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta), William Ng berkata, cukai barangan import bernilai rendah akan membolehkan penjual tempatan, termasuk PKS, bersaing berdasarkan perkhidmatan unggul, jarak dekat dan perlindungan lebih baik untuk pengguna tempatan.

Katanya, selama bertahun-tahun, peniaga tempatan dan penjual dalam talian berdepan persaingan tidak adil dengan penjual asing mungkin tidak menjalani ujian kualiti dan keselamatan ketat sama seperti pengilang dan pengimport Malaysia.

Ng menggesa pasaran dalam talian segera memudahkan pelaksanaan cukai baharu ini untuk penjual yang mencapai ambang dan mengelakkan kos tambahan dikenakan terhadap penjual tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya