KUALA LUMPUR: Seorang penjual baju dalam talian (online) didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki gambar lucah dalam komputer riba dan telefon bimbitnya, Mei lalu.
Mengikut pertuduhan, Wong Yi Hang ,32, didakwa memiliki gambar lucah dalam sebuah komputer riba dan lapan telefon bimbitnya pada pukul 4.30 petang, 22 Mei lalu di sebuah unit kondominium di Taman Kobena, Cheras di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan (ASP) Nom Phot Prackdit yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh.
Peguam bela, Ashraf Fahmi Abdul Aziz yang mewakili Wong Yi merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman denda paling minimum atas alasan ia merupakan kesalahan kali pertama tertuduh.
“Anak guam saya belum berkahwin dan dia menanggung keluarga serta ibu bapanya. Bahan-bahan lucah tersebut adalah untuk (kegunaan) peribadi dan bukan untuk dijual,” kata peguam itu.
Majistret Wong Chai Sia selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan pihak-pihak terlibat mengenakan denda RM3,000 terhadap tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan agar Yi Hang dipenjara selama tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayar denda berkenaan. – UTUSAN