Pengusaha lebah kelulut alami kerugian akibat banjir - Utusan Malaysia

Pengusaha lebah kelulut alami kerugian akibat banjir

YAHYA Yasin menunjukkan sarang lebah kelulut yang diusahakannya di Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Seorang pengusaha lebah kelulut di Kampung Paya Besar dekat sini terpaksa memindahkan sarang lebah kelulut di kawasan lebih tinggi untuk mengelakkan kerugian akibat kejadian banjir.

Yahya Yasin, 47, berkata, sejak mengusahakan penternakan tersebut 10 tahun lalu, dia telah mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila sarang kelulutnya musnah setelah ditenggelami dan dihanyutkan air dalam kejadian banjir itu.

Menurutnya, sebagai tindakan bagi mengurangkan risiko kerugian pada banjir kali ini dia telah sediakan bongkah kayu di kawasan tinggi berhampiran rumahnya bagi menempatkan sarang kelulut tersebut.

“Sebelum ini ada 100 sarang kelulut namun banyak yang musnah akibat banjir, sekarang ada lebih kurang 30 lot sahaja. Setiap kali banjir saya alami kerugian, paling besar pada Februari tahun lalu iaitu lebih RM40, 000.

“Dua tahun lalu, saya telah ambil inisiatif tambak tanah berhampiran rumah untuk letakkan sarang namun kerana banjir luar biasa tahun lepas, banyak yang musnah kerana tidak sempat memindahkan lot kelulut.

“Sebagai persediaan hadapi tengkujuh kali ini, sekitar pertengahan tahun baru-baru ini saya sediakan bongkah kayu di kawasan tanah telah ditambak untuk letakkan sarang kelulut,” katanya ketika ditenui di sini, hari ini.

Tambah Yahya, tindakan itu diharapkannya berhasil bagi kurangkan risiko jumlah kerugian akibat banjir sekali gus menyelamatkan perusahaan yang menjadi sumber pendapatan.

“Kampung ini telah dinaiki air dan ada penduduk telah berpindah ke pusat pemindahan sementara sejak pagi semalam. Setakat ini, kawasan sarang kelulut masih lagi selamat kerana belum dinaiki air.

“Saya sendiri tidak pasti nasib kali ini macam mana, cuma mampu berdoa dan tawakal setelah usaha dilakukan. Kawasan telah ditambak tanah itu biasanya tidak dinaiki air kecuali banjir luar biasa seperti Februari dan Disember tahun lepas,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya