Pengurusan tertinggi Kastam diminta kaji semula arahan perpindahan pegawai 

Pengurusan tertinggi Kastam diminta kaji semula arahan perpindahan pegawai 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengurusan tertinggi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diminta mengkaji semula arahan perpindahan yang dikeluarkan secara drastik membabitkan sejumlah besar pegawai jabatan itu.

Ia susulan perintah perpindahan membabitkan sejumlah pegawai JKDM yang diarahkan berpindah merentas negeri termasuk pegawai yang sudah hampir pencen.

Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM), Abdul Malik Mohamed Zin berkata, arahan pertukaran itu bercanggah dengan keputusan Majlis Mesyuarat Tertinggi (MBJ) bersama ketua pengarah sebelum ini.

“Mereka tidak boleh membuat rayuan dan terpaksa membuat pilihan sama ada berhenti kerja atau pencen awal (bagi yang layak).

“Bayangkan ada pegawai yang lagi dua tahun nak pencen selepas berpuluh tahun berkhidmat dan diakhir perkhidmatan kena kes begini.

“Arahan perpindahan drastik ini menjadikan suasana kerja menjadi sangat tidak menggembirakan,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat KPKSM di sini hari ini.

Dakwa beliau, menerusi MBJ sebelum ini pucuk pimpinan terdahulu bersetuju untuk hanya melakukan pertukaran secara dalam negeri berikutan perpindahan merentas sempadan akan memakan kos tinggi dan membebankan pegawai.

Abdul Malik mendakwa, arahan pertukaran yang bersifat muktamad itu sebagai salah satu cara untuk mendiamkan suara persatuan berikutan dirinya yang bertugas di Perak sejak 20 tahun lalu turut ditukarkan ke Lawas, Sarawak tanpa alasan munasabah.

Katanya, pertukaran itu memberi kesan dari segi emosi dan  kewangan pegawai kerana membabitkan kos perpindahan tinggi ke lokasi baharu khususnya di kawasan yang tidak disediakan kuarters atau kuarters sudah penuh. 

“Pegawai terbabit terpaksa menanggung kos tinggi berikutan perlu membayar ansuran bulanan rumah yang sudah dibeli dan pada masa sama perlu mencari rumah sewa.

“Arahan pertukaran besar-besaran ini diambil tanpa mengambil kira kebajikan pegawai terbabit malah perintah pertukaran adalah muktamad dan tidak dibenarkan sebarang rayuan,” dakwanya.

Menurutnya, KPKSM yang mewakili kira-kira 5,600 ahli seluruh Malaysia sedia maklum berkenaan garis panduan melibatkan arahan pertukaran pegawai yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Ceraian UP.2.2.1 Panduan Pertukaran Pegawai  dan Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023.

Bagaimanapun, JKDM selama ini mengamalkan pertukaran pegawai mandatori membabitkan bahagian-bahagian jabatan itu dalam sesebuah negeri dan tidak membabitkan perpindahan merentas sempadan kecuali atas permohonan pegawai berkenaan.

“Struktur pentadbiran JKDM setiap negeri mempunyai cabang yang terbahagi kepada beberapa bahagian utama antaranya penguatkuasaan, pematuhan, perkastaman, cukai dalam negeri dan lain-lain bahagian.

“Setiap bahagian terbahagi kepada cawangan dan seterusnya unit-unit kecil dan pusingan kerja mandatori ini diamalkan dari dahulu dan tidak timbul keperluan menukar pegawai merentas negeri,” katanya.

Sehubungan itu beliau meminta pucuk pimpinan JKDM untuk mengkaji semula arahan pertukaran itu yang didakwa dikeluarkan tanpa sebab munasabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya