ALOR SETAR: Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) mendakwa monopoli belian padi dalam kalangan pengilang beras ‘gergasi’ ketika ini mengakibatkan pengilang beras bumiputera semakin pupus.
Pengerusi PPBMM, Mohamad Termizi Yop berkata, banyak pengilang beras kecil terutama dalam kalangan bumiputera gulung tikar kerana gagal memperoleh belian padi untuk menampung kos operasi kilang masing-masing.
“Perkara ini sudah berlaku sejak lima tahun lepas. Dahulu ada lebih 300 pengilang beras bumiputera di seluruh Malaysia tetapi sekarang tinggal 60 pengilang sahaja.
“Di Kedah daripada 35 pengilang bumiputera sekarang cuma tujuh yang masih aktif,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Justeru, Mohamad Termizi berkata, PPBMM merayu kerajaan memperuntukkan kuota belian padi kepada setiap kilang di seluruh negara kepada had maksimum sebanyak 20,000 tan metrik sahaja pada setiap musim.
Katanya, perkara itu bagi membolehkan setiap kilang mendapat peluang belian padi yang sama rata sekali gus membantu pengoperasian pengilang beras bumiputera khususnya.
“Sekarang tiada kuota ditetapkan, ada pengilang yang terima belian padi antara 40,000, 60,000 dan 70,000 tan metrik. Apabila pengilang gergasi gagal mendapat belian padi yang mencukupi mereka mengupah broker untuk cari padi di tempat lain mengakibatkan berlaku pindahan belian padi.
“Sedangkan di kawasan tersebut ada juga kilang padi kecil yang perlu berniaga jadi bila kita had 20,000 tan metrik semua kilang akan dapat sama rata, jadi kurang tawar menawar (broker),” katanya.
Tambah beliau, PPBMM juga yakin penetapan kuota itu dapat membantu mengatasi pelbagai isu berkaitan bekalan beras negara seperti penyelewengan dan penipuan sehingga berlaku kekurangan makanan ruji itu sebelum ini.
“Kalau tak ada kuota belian ini akan berlaku penipuan beras tempatan dan kita tak mahu ianya terus berlaku. PPBMM sudah lama melaungkan agar perkara ini diberi perhatian. Namun, pendapat kami hanya dibiarkan ibarat ‘bagaikan melukut di tepi gantang’,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kata Mohamad Termizi, PPBMM juga berharap pindahan padi di antara negeri ke negeri perlu dikaji semula dan perlu mendapat pandangan setiap kilang di dalam negeri tersebut terlebih dahulu.
“Ini bertujuan mengelak berlakunya tawaran harga daripada orang tengah yang tidak munasabah dan mengaut keuntungan,” katanya. – UTUSAN