PETALING JAYA: Penyanyi, Erin CTJ, mendedahkan pernah didesak netizen agar berhenti menyanyi hanya kerana namanya tidak popular.
Erin atau Siti Erin Syaheera Jamaluddin, 20, bagaimanapun enggan mengalah malah membuktikan mampu cemerlang dalam dunia seni suara apabila sembilan singlenya sebelum ini berjaya mencuri tumpuan pencinta muzik Indonesia.
“Saya pernah dihina netizen yang berpandangan tiada orang yang sudi mendengar lagu-lagu saya, justeru meminta saya berhenti menerbitkan single baharu.
“Sejujurnya kata-kata begitu sangat mengguris perasaan namun saya enggan patah semangat.
“Saya sudah bernyanyi sejak berumur 8 tahun dan memasuki pertandingan nyanyian pada usia 9 tahun. Takkan hanya dengan kata-kata itu, saya hendak mengalah?” katanya.
Menurut Erin, mungkin dia masih mentah dalam merangka strategi pemasaran ditambah pula dengan sikapnya yang pemalu membuatkan namanya lambat panas berbanding penyanyi lain.
“Kalau di media sosial, mungkin saya nampak ramah dan ceria tapi sebenarnya saya seorang yang pemalu.
“Sikap itu mungkin menjadi batu penghalang untuk saya kehadapan. Maklumlah, untuk berada dalam bidang ini, saya kena buang sikap malu.
“Saya mahu orang nampak bakat dan hargai usaha saya,” tambahnya.
Erin turut menyedari ada sesetengah artis yang sengaja mencipta kontroversi untuk namanya lebih cepat laris. Namun baginya, cara itu hanya membuahkan populariti sementara.
“Ada orang yang sengaja cipta kontroversi untuk cepat popular. Tapi bagi saya, strategi itu hanya akan membuatkan anda ‘terbakar’ sekejap sahaja.
“Saya enggan dikenali dengan cara seperti itu,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan nyanyiannya untuk tahun 2024, bekas peserta D’Academy Dangdut Asia itu ingin memberi fokus untuk menghasilkan lagu sendiri.
“Selepas ini, saya mahu hasilkan lagu sendiri. Saya mahu kongsikan perasaan dan luahan hati saya buat semua.
“Saya sudah ada beberapa lagu dalam senarai cuma tiada keberanian untuk dikeluarkan. Buat masa ini, saya memberikan fokus menimba ilmu dalam muzik dan belajar bermain piano,” katanya.