Pengerusi persatuan mengaku tidak bersalah guna gelaran Datuk Seri

Pengerusi persatuan mengaku tidak bersalah guna gelaran Datuk Seri

SAIFUL Sharma Abdullah dituduh menggunakan gelaran 'Datuk Seri' yang tidak diiktiraf ketika didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengerusi Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ yang tidak diiktiraf, Oktober lalu.

Saiful Sharma Abdullah, 52, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret S. Punitha.

Mengikut pertuduhan, dia yang berstatus duda didakwa sebagai seorang yang tidak berhak untuk menggunakan dan menikmati gelaran dan panggilan ‘Datuk Seri’ telah dengan sengaja menggunakan dan menikmati gelaran tersebut pada surat memohon kelulusan untuk menganjurkan Majlis Ulang Tahun ke-9 Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di dalam daerah Ipoh pada 31 Oktober 2023.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Nabihan Shahrir menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin namun Teeban Kummar yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum atas alasan anak guamnya menghidap penyakit kronik dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Penipuan lelaki yang bekerja sendiri itu terbongkar selepas surat memohon kelulusan untuk menganjurkan majlis ulang tahun persatuannya pada 31 Oktober 2023 didapati meragukan.

Setelah penelitian dibuat, lelaki itu disyaki telah menyalahgunakan Jata Persekutuan di dalam surat permohonan berkenaan dan menggunakan gelaran ‘Dato Seri’ yang diragui.  – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN