Pengamal media berperanan sampai maklumat tepat - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Pengamal media berperanan sampai maklumat tepat – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail bergambar bersama para pemenang Malam Anugerah Kewartawanan Perlis (MAKPs) 2023 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis, malam tadi.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengamal media perlu memainkan peranan bagi menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat biar pun terdapat pelbagai platform baharu lain yang semakin berkembang pada masa kini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, tugas pengamal media cetak dan elektronik pada masa ini lebih mencabar terutama dalam melaporkan fakta sebenar di samping menangkis serangan penularan berita palsu di kalangan masyarakat.

Titah baginda, maklumat disampaikan oleh pengamal media menerusi laporan pemberitaan masih menjadi bahan rujukan buat masyarakat dalam mendapatkan informasi yang tepat.

“Selain memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat tepat, pengamal media turut menjadi penghubung buat kerajaan sama ada di peringkat negeri mahu pun Persekutuan dalam menyampaikan agenda atau matlamat yang ingin dilaksanakan buat rakyat,” titah baginda pada Majlis Anugerah Kewartawanan Perlis (MAKPs) 2023 di Dewan Warisan, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan negeri mewakil Menteri Besar, Muhammad Azmir Azizan; barisan exco, ketua-ketua jabatan dan pengamal media negeri ini.

Sebanyak sembilan penaja utama untuk anugerah berkenaan iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), DagangNews.Com, Yayasan Keluarga Malaysia, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Bank Rakyat, Syarikat Air Perlis (SAP), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Pejabat Menteri Besar.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pengamal media di negeri ini juga diharap dapat menyebar luas sebarang informasi berkaitan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.

“Seperti semua sedia maklum, TMPs 2024-2025 akan mula membuka tirai pada tahun hadapan dan kita perlu terus sama-sama memainkan peranan dalam mempromosikan lokasi-lokasi menarik bagi menggalakkan lagi kehadiran pengunjung luar untuk melancong dan berbelanja di Perlis,” titahnya.

Titah baginda, kejayaan TMPs 2024-2025 bakal memberi limpahan ekonomi buat penduduk di negeri ini khususnya melibatkan pengusaha hotel, inap desa, kafe makanan, peniaga Industri Kecil dan Sederhana (IKS), syarikat pengangkutan serta pelbagai lagi.

“Beta juga yakin pengamal media khususnya di negeri ini amat memegang kepada etika kewartawanan dalam melaporkan sebarang berita yang ingin disampaikan kepada masyarakat,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya