Pengakuan salah ditolak, bicara 'stalker' jurugambar 17 Januari depan - Utusan Malaysia

Pengakuan salah ditolak, bicara ‘stalker’ jurugambar 17 Januari depan

Pengakuan
MOHAMAD Safiq Rosli dibawa ke Mahkamah Majistret dengan diiringi polis di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menolak pengakuan salah seorang bekas pereka sambilan yang menjadi individu pertama dituduh di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan (KK) apabila menganggap tertuduh layak dibicarakan.

Majistret Sasha Diana Sabtu, memutuskan demikian terhadap Mohamad Safiq Rosli 37, selepas menerima bantahan awal dikemukakan pihak pendakwaan mengenai laporan kesihatan mental dan ketidakwarasan tertuduh yang dikatakan fit for trial dan fit for plea.

“Saya tidak menerima pengakuan bersalah tertuduh dan kes akan diteruskan dengan proses perbicaraan. Pengakuan bersalah sebelum ini dianggap sebagai pengakuan bersyarat,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas berkata, laporan psikiatri membuktikan tertuduh tidak waras ketika melakukan kesalahan itu namun ia tidak mengikut Seksyen 84 KK. 

“Tertuduh perlu memenuhi faktor kewarasan mengikut undang-undang dan kewarasan dalam laporan perubatan untuk digunakan dalam pengakuan bersalah.

“Laporan perubatan oleh Hospital Bahagia Ulu Kinta hanya pemeriksaan kesihatan mengenai kewarasan namun pemeriksaan kewarasan mengikut undang-undang tidak terjawab. Satu-satunya cara membuktikan kewarasan ikut undang-undang adalah menerusi perbicaraan penuh,” jelasnya.

Malah, peguam tertuduh, Fithril Hakim Ab. Jalil dalam hujahannya menegaskan, keadilan tidak ditegakkan jika anak guam dikekalkan dalam penjara berikutan keadaan mentalnya. 

“Saya memohon mahkamah menggunakan Seksyen 347 dan 348 Kanun Tatacara Jenayah bagi membebaskan seseorang atas pertuduhan di mahkamah atas alasan gangguan mental sebelum mengarahkannya ditahan di hospital mental mengikut tempoh diperkenan pemerintah negeri.

“Pihak pendakwaan tahu mengenai keadaan mental tertuduh ketika menyatakan kes ini perlu dibawa untuk perbicaraan. Anak guam akan terus berada dalam penjara dan tiada keadilan untuk jika kekal di situ,” katanya. 

Sementara itu, peguam pemerhati yang mewakili mangsa, Jason Wee memohon perbicaraan berkenaan dilakukan secara dalam talian kerana mangsa berada di luar negara dan atas faktor keselamatan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 17 Januari depan untuk memulakan prosiding perbicaraan.

Terdahulu, Mohamad Safiq yang berkemeja hijau dan tubuhnya kelihatan susut tiba di mahkamah dengan dikawal ketat anggota polis, kira-kira pukul 9 pagi. 

Mengikut pertuduhan, Mohamad Safiq didakwa menggunakan akaun @sopert99 secara berulang mengganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud, 31, di akaun “@ShaFoShizzle”.

Pada Jumaat lalu, Mohamad Safiq dilaporkan menukar pengakuannya kepada bersalah selepas pertuduhan dimohon dibacakan semula ke atasnya oleh peguamnya.

Bagaimanapun, ketika itu Sasha Diana kemudian menyatakan mahkamah menerima pengakuan bersalah oleh Mohamad Safiq apabila mengambil kira status fit for trial dan fit for defence.

Perkara itu diputuskan Majistret walaupun Zilfinaz memohon mahkamah merujuk kepada Seksyen 347 dan 348 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima laporan perubatan psikiatri terhadap tertuduh dari Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak seperti diarahkan mahkamah pada Ogos lalu.

Justeru, beliau kemudian menetapkan tarikh semalam untuk memutuskan hukuman dan pembacaan fakta kes. Bagaimanapun dalam prosiding semalam, Mahkamah Majistret menunda ke hari ini selepas memaklumkan terlepas pandang proses permohonan perintah kehadiran (OTP) menyebabkan tertuduh tidak hadir.

Tertuduh pada Ogos lalu menjadi individu pertama didakwa mengikut Seksyen 507A KK selepas akta berkenaan dikuatkuasakan tahun ini.

Berdasarkan akta baharu itu, sesiapa yang berulang kali melakukan tindakan gangguan, berniat menyebabkan atau mengetahui berkemungkinan menyebabkan kesusahan, ketakutan atau kecemasan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya