KUALA SELANGOR: Lebih 20,000 penduduk Bandar Puncak Alam menggesa pihak berwajib menangani isu banjir di Jalan Persiaran Puncak Alam 6 di sini, yang kerap dinaiki air sejak kebelakangan ini.
Penduduk, Karuzi Che Agih, 39, berkata, laluan itu kerap dinaiki air kira-kira 0.3 meter setiap kali hujan lebat melebihi dua jam.
Katanya, keadaan itu membimbangkan penduduk yang melalui laluan utama berkenaan untuk melakukan urusan harian.
“Apabila hujan, air akan mula bertakung di jalan ini dan mengambil masa lama untuk surut,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan.
Menurutnya, banjir turut menyebabkan laluan itu sesak kerana pengguna terpaksa berpatah balik dan menggunakan jalan alternatif.
“Pengguna biasanya melalui Jalan Fasa 1 yang jarak perjalanannya tiga kilometer lebih jauh berbanding laluan asal. Keadaan ini menyusahkan penduduk kerana ia memakan masa lama untuk pergi ke destinasi dituju dan berlaku kesesakan trafik,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Rosli Abd. Naim, 48, berkata, sebanyak tujuh kali laluan itu dilanda banjir tahun ini.
“Sistem saliran longkang jalan tidak efisien yang menyebabkan aliran air tersekat antara faktor berlaku banjir. Saliran sedia ada di bahu jalan ini sempit dan tidak dapat menampung aliran air dari kawasan perumahan penduduk hingga berlaku limpahan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd. Hanif Md. Sultan berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mempercepatkan kerja pembinaan dan menaik taraf longkang serta sistem pembetung bagi menangani masalah berkenaan.
“Longkang dan sistem pembetungan yang menghubungkan mana-mana saliran perlu ditukar kepada saiz lebih besar bagi membolehkan aliran air berjalan lancar. Kita berharap pihak berwajib menangani masalah ini apatah lagi kita sudah memasuki hujung tahun yang mana hujan dijangka lebih kerap,” katanya.-UTUSAN