Penduduk pilih tinggal di PPS walaupun banjir surut

Penduduk pilih tinggal di PPS walaupun banjir surut

BEBERAPA anggota tentera membantu membersihkan rumah penduduk yang dilanda banjir di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, Dungun, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seramai 300 penduduk di Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor, Hulu Dungun dekat sini memilih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun keadaan banjir semakin surut hari ini kerana bimbang banjir yang melanda kampung mereka semalam akan kembali berulang.

Mangsa banjir terlibat yang ditemui memilih untuk berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Balai Raya Kampung Shukor berikutan keadaan hujan yang masih berterusan.

Bagaimanapun, terdapat penduduk yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kediaman untuk membersihkan rumah masing-masing.

Salah seorang penduduk, Tengku Maimun Tengku Ismail, 59, berkata, rumahnya yang berdekatan Sungai Dungun mula dinaiki air pada pukul 8 malam ekoran hujan lebat sejak awal pagi semalam.

“Semalam hujan terlalu lebat dengan angin kencang dan air sungai naik mendadak.

“Mak cik dan keluarga serta beberapa penduduk lain pindah awal sebab takut kejadian tak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Tengku Maimun berkata, walaupun air mulai surut sejak awal pagi tadi, namun dia dan beberapa penduduk lain masih tinggal di PPS berikutan bimbang banjir kembali berulang.

“Hujan masih berterusan walaupun tidak terlalu lebat. Air sungai masih belum surut seperti sediakala walaupun dalam rumah dah tak ada air. Kami bimbang air naik lagi,” katanya.

Bagi Tengku Zulkarnain Tengku Man, 56, yang tinggal di Kampung Shukor berkata, dia dan isteri serta dua anaknya juga masih belum pulang ke rumah mereka meskipun banjir di kawasan rumahnya sudah mulai surut.

“Saya tengok kawasan tebing sungai masih dilimpahi air sungai walaupun kawasan rumah penduduk dah surut. Kami bimbang air naik lagi sebab masih hujan dan Jabatan Meteorologi juga meramalkan hujan di kawasan ini,” katanya.

Tengku Zulkarnain berkata, kebiasaannya ketika Monsun Timur Laut, lebih dua kali kampung tersebut dinaiki air pada setiap tahun.

“Kampung kami memang saban tahun dilanda banjir pada musim tengkujuh ekoran limpahan air Sungai Dungun. Kalau hujan lebat berterusan, memang kawasan kampung cepat dinaiki air,” katanya.

Menurutnya, penduduk di kawasan Hulu Dungun sememangnya bersedia lebih awal menghadapi banjir berikutan telah terbiasa berdepan bencana tersebut.

“Biasanya kalau hujan lebat berterusan, kami tahu akan banjir dan kami akan angkat barang-barang ke tempat tinggi lebih awal bagi mengelak barang rosak akibat banjir,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya