Penduduk guna pelepah kelapa hadang rumah daripada angin

Penduduk guna pelepah kelapa hadang rumah daripada angin kencang

ASMAWI Mahmud menyusun pelepah kelapa untuk dijadikan penghadang bagi melindungi rumahnya daripada tiupan angin kencang pada musim tengkujuh di Kampung Jambu Bongkok, Marang. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Penduduk Kampung Jambu Bongkok di sini mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko angin kencang akibat tempias ribut tropika Jelawat yang dijangka melanda Terengganu bermula esok.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati mereka menggunakan pelepah kelapa sebagai penghadang untuk melindungi rumah mereka daripada tiupan angin kencang yang dijangka berlaku akibat ribut tersebut.

Penduduk mendakwa kaedah itu lebih murah, mudah digunakan dan telah terbukti berupaya mengurangkan kerosakan terhadap rumah mereka sejak turun-temurun
sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) berlaku.

Asmawi Mahmud, 60, berkata, kebiasaannya penduduk kampung itu akan mula mengumpul pelepah kelapa yang banyak seawal Oktober sebagai persiapan menjadikannya penghadang di depan rumah mereka.

“Kampung kami memang terletak di tepi pantai dan tiada masalah nak cari pelepah kelapa dalam kuantiti yang banyak.

“Caranya mudah sahaja, hanya susun rapat semua pelepah kelapa yang telah dikumpul dan ikat kuat-kuat, kemudian jadikan ia sebagai pagar di bahagian depan rumah yang terdedah dengan angin pantai,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Difahamkan, pelepah kelapa itu telah lama digunakan sebagai benteng penghadang angin oleh generasi zaman dahulu setiap kali tibanya musim tengkujuh kerana kebanyakan struktur rumah ketika itu diperbuat daripada kayu.

Asmawi berkata, struktur rumah pada zaman sekarang semakin kukuh kerana diperbuat daripada simen dan bata serta tidak lagi terancam dengan tiupan angin kencang.

“Namun, saya masih mengekalkan kaedah ini kerana sangat murah, mesra alam sekitar dan berkesan. Alhamdulillah, dapat mengurangkan impak angin kencang sejak berpuluh tahun lalu.

“Pelepah kelapa ini akan digunakan sehingga habis musim tengkujuh. Kami akan tukar yang baru untuk setiap musim,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya