IBARAT berada di Masjidil Haram, Kota Mekah, Arab Saudi. Kata-kata itu pastinya muncul kala menjejakkan kaki ke Masjid Razaleigh, Bandar Gua Musang, Kelantan.
Masjid mirip Masjidil Haram ini diberi nama Masjid Razaleigh sempena nama bekas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah berkhidmat dari 1962 hingga 2022.
Masjid hasil ilham Tengku Razaleigh yang menelan belanja RM34 juta ini, menjadi ikon baharu untuk menarik kedatangan pelancong ke negeri serambi Mekah ini.
Menariknya, dianggarkan lebih 2,000 pengunjung singgah ke masjid ini setiap minggu, sama ada untuk solat atau merakam gambar, sejak ia dibuka secara rasmi 1 April tahun lalu.
Berkemampuan menampung 3,500 jemaah pada satu-satu masa, ia turut dilengkapi ruangan khusus bakal jemaah haji mengikuti kursus dan praktikal dengan binaan sebuah replika Kaabah yang dipasang di bahagian tengahnya.
GUA BATU KAPUR
Berlatar belakangkan gua batu kapur, Gua Musang, ruangan masjid itu bukan sahaja luas, bahkan turut mempunyai rekaan warna, jubin dan hiasan luar termasuk sembilan menara mirip Masjidil Haram.
Masjid binaan tenaga tempatan pada 2016 itu, turut dilengkapi parkir yang luas dan selesa.
Malah pengurusan masjid sentiasa bersedia menyambut kedatangan pengunjung untuk melakukan aktiviti keagamaan di masjid ini.
Imam Muda masjid, Muhamad Khirul Safarudin Zulki i berkata, pembukaan masjid ini sudah lama dinantikan, bagaimanapun terpaksa ditangguhkan berikutan penularan Covid-19, tiga tahun lalu.
Bagi memastikan persekitaran masjid tersusun rapi, seramai 14 pekerja pembersihan, tujuh sukarelawan dan tujuh kakitangan pejabat disediakan.
“Kerja gotong-royong membersihkan masjid kerap dilakukan bagi menyambut kedatangan jemaah dan pengunjung luar dari daerah ini,” katanya.
IDEA KU LI
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, idea pembinaan replika Kaabah tersedia di situ adalah hasil cetusan idea Tengku Razaleigh atau mesra disapa Ku Li.
Replika berkenaan menjadi tarikan baharu pelancongan di daerah ini apabila ramai yang memenuhi Masjid Razaleigh, semata-mata menyaksikannya secara lebih dekat.
“Sepanjang bulan Ramadan lalu, ramai perantau singgah solat di Masjid Razaleigh sehingga ada yang sanggup bermalam di Gua Musang bagi solat tarawih di sini.
“Malah, ia sudah menjadi produk pelancongan yang berkembang pesat iaitu sebagai pusat pelancongan keagamaan,” katanya.
Lebih daripada itu, pembinaan masjid berkenaan turut menjana ekonomi penduduk sekitar kawasan Bandar Lama yang semakin lesu dengan pertumbuhan beberapa bandar baharu.
“Penduduk tempatan berbangga apabila mendapat sebuah masjid yang gah untuk beribadat.
“Kita bersyukur Gua Musang memiliki sebuah masjid yang begitu unik dan indah.
“Kita berharap masjid ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh rakyat,” katanya.