KUALA TERENGGANU: Penduduk Terengganu terutama yang tinggal di pesisir pantai diminta lebih berwaspada ekoran ramalan banjir gelombang ketiga yang dijangka berlaku antara 22 hingga 26 Disember ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abd. Jalil berkata, banjir kali ini diramal lebih buruk ekoran tempias ribut tropika Jelawat yang kini membadai pulau besar di selatan Mindanao, Filipina.
Menurutnya, hujan lebat tersebut boleh menyebabkan banjir yang berkemungkinan lebih teruk berbanding gelombang pertama dan kedua baru-baru ini.
“Oleh itu, saya harap semua penduduk di kawasan terlibat khususnya di Kemaman dan Dungun dapat membuat persediaan lebih awal dan sentiasa waspada dengan amaran dikeluarkan pihak berkuasa.
“Pada masa sama, semua jabatan dan agensi berkaitan pengurusan bencana di Terengganu terus bersiap siaga untuk berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku dalam banjir gelombang ketiga nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menerima sumbangan pakej prihatin Yayasan Petronas untuk 1,500 mangsa banjir di Terengganu di sini, semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, semua sumbangan itu diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang terlibat.
Menurutnya, agihan kit bantuan itu akan diberi di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk keluarga mangsa banjir antaranya kelengkapan asas kebersihan diri, selimut, tuala, makanan dan minuman yang bernilai RM300.
“Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 ini merupakan salah satu usaha berterusan Yayasan Petronas bagi membantu mangsa banjir yang diharap dapat meringankan beban kewangan mereka.
“Kita turut menyampaikan sumbangan bekalan bahan api dan wang sebanyak RM10,000 yang diberikan dalam bentuk Kad Hadiah Petronas untuk digunakan pihak keselamatan sepanjang pengurusan banjir di Terengganu,” katanya. – UTUSAN