PARIT BUNTAR: Sebahagian penduduk di sekitar Daerah Kerian di sini terpaksa membeli air bersih atau air yang ditapis dari luar untuk kegunaan minuman setelah air dari paip rumah mereka keruh dan berbuih.
Penduduk di Taman Desa Mekar di sini, Noranissa Izzati Muhamad Nor, 22, berkata, keadaan itu sudah berlaku hampir sejak seminggu lalu.
Menurutnya, perkara itu sudah diadukan kepada Lembaga Air Perak (LAP) beberapa hari lalu.
“Walaupun aduan sudah dibuat, namun air dari paip rumah masih nampak kotor dan berbuih seperti air berkarbonat,” katanya di sini.
Menurutnya, penduduk di kawasan perumahan itu terpaksa menggunakan air paip yang tidak bersih itu untuk kegunaan harian kerana tiada pilihan lain.
Katanya, jika air paip keruh dan berbuih disebabkan kerja pencucian atau menaik taraf yang dilakukan oleh LAP, ia sepatutnya dimaklumkan pada pengguna supaya mereka boleh buat persediaan awal untuk menghadapi keadaan itu.
“Namun, tiada notis langsung yang kami terima, secara tiba-tiba kami di sini dapati air dari paip keruh dan berbuih,” katanya.
Katanya, jika kualiti air yang diterima berterusan, dia merasa bimbang terhadap kesannya kepada kesihatan pengguna.
“Kalau kami semua minum air dalam keadaan begini, jika ditimpa sakit siapa yang nak bertanggungjawab,” katanya.-UTUSAN